Sumber : Siaran Media JAPEM
Bandar Seri Begawan, Sabtu, 18 Muharam 1448/ 4 Julai 2026 - Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025-2029 bersempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2026. Majlis berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah Dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nordin bin Haji Durahman, Guru Agama Kompleks Rumah Kebajikan (KRK), dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan pelancaran Buku Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025– 2029 oleh tetamu kehormat, diikuti dengan tayangan video. Acara disusuli dengan penyerahan buku pelan tindakan oleh tetamu kehormat kepada wakil-wakil daripada agensi kerajaan serta rakan strategik yang terlibat dalam pelaksanaan strategi berkenaan.
Bagi menyemarakkan lagi majlis tersebut, para hadirin telah dihiburkan dengan persembahan Kalam Jama'ie daripada pelajar Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Keluarga oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nordin bin Haji Durahman, Guru Agama KRK. Sebelum bersurai, tetamu kehormat turut meluangkan masa melawat ke petak-petak pameran yang disediakan.
Selain majlis pelancaran buku, Jabatan Pembangunan Masyarakat juga mengadakan jerayawara dan pameran di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan selama dua (2) hari iaitu;
- Hari Sabtu, 4 Julai 2026, pukul 4.00 petang hingga 9:00 malam, dan
- Hari Ahad, 5 Julai 2026, pukul 11.00 pagi hingga 6:00 petang. 1 4 Julai 2026
Jerayawara dan pameran ini dibukakan secara percuma kepada orang ramai yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan institusi keluarga di samping mengetengahkan pelbagai program, perkhidmatan dan inisiatif yang disediakan oleh agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha memperkukuhkan institusi keluarga di Negara Brunei Darussalam. Pameran ini terbahagi kepada tiga (3) zon utama iaitu;
Zon 1: Kehidupan Berkeluarga (Family Life Journey),
Zon 2: Keluarga Berdaya Tahan (Family Resilience), dan
Zon 3: SaTu HaraPan (Family Values and Culture).
Pelbagai pengisian menarik juga diadakan sepanjang penganjuran acara, antaranya:
i. Pameran informasi dan perkhidmatan;
ii. Perkongsian dan bengkel;
iii. Aktiviti interaktif seperti Sketsa, Karnival Mini; Kenali Sejarah Kitani; Kembara Bas: Jejak Warisan Brunei (Brunei Heritage Trail Bus Tour)
iv. Klinik dan konsultasi;
v. Aktiviti keusahawanan;
vi. Demonstrasi seperti First Aid; Panduan Keselamatan Diri: Warga Emas Tunjuk Cara
vii. Persembahan pentas Pertubuhan Wargamas, Peserta-Peserta OKU Got Talent, Revolution Records & Karyatif Kids.
Antara agensi-agensi yang turut menyertai jerayawara dan pameran ini ialah Pasukan Polis Diraja Brunei; Biro Kawalan Narkotik; Universiti Brunei Darussalam; Pusat PRIHATIN, ABDB; Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Pusat Promosi Kesihatan; Jabatanarah Keagamaan (JAMAAT), ABDB; Jabatan Belia dan Sukan; Mahkamah Syariah; Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan; Pusat Sejarah Brunei; Dewan Bahasa dan Pustaka; Jabatan Muzium-Muzium; Jabatan Perundangan Islam; Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah; Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Majlis Belia Brunei; Tabung Amanah Pekerja; Pertubuhan Wargamas; Demensia Brunei; Persatuan MAWAR; Persatuan Afiah; Kumpulan Super MaBah, Program Eksekutif Muda Kohort; Jerudong Park Country Club; BD Creative Centre; AIA Brunei; Freme Travel Services Sdn Bhd; Pusat-Pusat Bahagia; Klien-Klien Keusahawanan, Jabatan Pembangunan Masyarakat; The White Studio; Artsthetic Studio; dan Stationery Addict BN.
Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir bersama keluarga untuk sama-sama memeriahkan acara ini dengan melawat pameran serta menyertai pelbagai aktiviti, bengkel dan program interaktif yang disediakan oleh agensi-agensi yang mengambil bahagian.
Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan disambut pada hari Ahad pertama bulan Mei setiap tahun, dan pada tahun ini jatuh pada hari Ahad, 3 Mei 2026 dengan tema “Keluargaku, Harapanku". Fokus HKK selaras dengan misi Pelan Tindakan Keluarga 2025-2029 iaitu Menerapkan Nilai-Nilai Teras Kekeluargaan Brunei: SaTu HaraPan. Ini adalah keperluan bagi mengukuhkan nilai teras kekeluargaan dalam konteks Negara Brunei Darussalam melalui empat teras keluarga, iaitu: Sayang-Menyayangi; Tanggungjawab; Hormat-Menghormati; dan Pemedulian.
Pelancaran Buku Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025–2029 menandakan langkah strategik dan berwawasan kerajaan dalam memperkasa institusi keluarga sebagai benteng utama kesejahteraan sosial serta teras pembangunan masyarakat dan negara. Dirangka secara inklusif melalui pendekatan Whole of Nation, pelan ini menggariskan tiga matlamat utama demi membina keluarga yang bahagia, kukuh, dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Sebagai sebuah dokumen yang dinamik (living document), keberkesanan pelan tindakan ini amat bergantung kepada komitmen yang berterusan. Sehubungan itu, semua kementerian, agensi berkepentingan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan seluruh lapisan masyarakat diseru untuk berganding bahu dalam menjayakan inisiatif yang dirancang demi memastikan kesejahteraan institusi keluarga dapat diperkukuhkan secara holistik serta mampan di Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir ke Majlis Pelancaran Buku tersebut ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, pegawai-pegawai kerajaan, persatuan-persatuan, rakan-rakan strategik dan YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis.