
Sumber : Pelita Brunei
Berita : Nooratini Haji Abas
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
GADONG, Khamis, 2 Julai. - Seramai 15 orang delegasi dari Republik Korea hari ini diraikan pada Majlis Perpisahan bagi Program Pertukaran Belia Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Korea 2026 yang diadakan selama 10 hari bermula pada 24 Jun hingga 3 Julai 2026.
Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) tersebut diadakan di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke NBD, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook, pegawai-pegawai kanan kerajaan, sektor swasta dan institusi pengajian tinggi.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh alumni peserta Program Pertukaran Belia NBD dan Republik Korea 2023, Awang Muhammad 'Arief Zuhairi Chia bin Abdullah Syihab dan diikuti dengan ucapan daripada Ketua Delegasi, Jang Honam.
Pada majlis itu diserikan dengan tayangan video di sepanjang program diadakan, disusuli dengan persembahan kebudayaan daripada delegasi Republik Korea.
Di akhir majlis, tetamu kehormat juga menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada delegasi program.
Program Pertukaran Belia NBD dan Republik Korea merupakan salah satu daripada program di bawah perjanjian kerjasama atau Arrangement on Cooperation on Youth Matters yang telah dimeterai di antara kedua buah kerajaan dan telah dipersetujui pada 10 Februari 2010.
Program tersebut dianjurkan secara kerjasama oleh Korea Youth Work Agency dan Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea dan KKBS yang bertujuan antara lain untuk menjalin persahabatan dan persefahaman muhibah di kalangan belia-belia kedua buah negara dalam suasana harmoni dan setia kawan melalui interaksi yang sihat selain dapat berkongsi dan bertukar pandangan dan pengalaman berguna dari sudut sosioekonomi, sosiopolitik, adat resam dan kebudayaan termasuk bahasa.
