.jpeg)
Sumber : Siaran Akhbar PSB
Foto : Mastinah - PSB
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Muharam 1448 / 27 Jun 2026 – Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO) menganjurkan Projek Borneo Pulau Bersejarah Kali Ke-2 bertemakan “Selami Sejarah Borneo" yang berlangsung selama dua hari bermula daripada 27 hingga 28 Jun 2026. Pelaksanaan projek ini adalah sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh dan memperkembangkan lagi peranan PSB dalam memelihara, mengkaji dan menyebarluaskan pengetahuan berkaitan sejarah Borneo. Menerusi projek ini, ia juga dihasratkan untuk memperkenal serta memperluas lagi jangkauan penBORNEO sebagai sebuah pusat rujukan dan pengkajian sejarah Borneo, di samping menyediakan platform perkongsian ilmu berkaitan sejarah, warisan, budaya serta perkembangan tamadun Melayu di rantau ini.
Projek berkenaan turut diselajurkan dengan Majlis Perasmian Galeri Pameran penBORNEO dan Pameran Peta-Peta Borneo yang berlangsung pada hari Sabtu, 27 Jun 2026, pukul 9.00 pagi. Galeri Pameran penBORNEO mengetengahkan tentang peranan, perkhidmatan, usaha dan pencapaian bahagian tersebut dari sejak ianya ditubuhkan, manakala Pameran Peta-Peta Borneo pula memperkenalkan peta-peta yang jarang dan sukar ditemui yang lazimnya dijadikan sebagai sumber rujukan sejarah yang bernilai tinggi dalam memahami perkembangan sejarah, geografi dan peradaban Pulau Borneo.
Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi menyempurnakan perasmian Galeri Pameran penBORNEO dan Pameran Peta-Peta Borneo tersebut ialah Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Encik Abdul Munir Lutfi bin Said, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Mr. Agus Buana, Head of Chancery, Pengarah Hal Ehwal Sosial dan Budaya, wakil daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan daripada sektor kerajaan dan swasta, para ahli akademik dan mahasiswa/i institusiinstitusi pengajian tinggi.
Projek ini diserikan dengan Program Ceramah Sejarah Borneo bagi Siri Ke-14 yang menampilkan dua orang ahli panel berpengalaman, iaitu Dr. Awang Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman, mantan Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, yang merupakan seorang sejarawan, penyelidik dan penulis prolifik. Manakala, panel kedua pula ialah Dr. Chun Sheng Goh, Penolong Profesor di Institute of Asian Studies, Universiti Brunei Darussalam, seorang penyelidik aktif dalam bidang pembangunan lestari di Borneo, khususnya berkaitan dengan penggunaan tanah, tenaga, kawasan sempadan dan identiti.
Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sejarah Borneo, memupuk penghargaan terhadap warisan budaya, serta memperkukuh jati diri generasi akan datang. Program ini juga menjadi wadah perkongsian ilmu yang berperanan dalam usaha memelihara dan melestarikan khazanah sejarah seiring dengan perkembangan tamadun di rantau Borneo, khususnya dalam kalangan golongan belia, pengkaji dan pencinta sejarah.
.jpeg)
.jpeg)