​​​​​​​​

Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448

Sumber : Siaran Akhbar JBS


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Muharam 1448 / 22 Jun 2026. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448 pada hari ini bertempat di Dewan Digadong, Bangunan KKBS. Majlis telah dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS). 

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Perisian majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim dan diikuti dengan ceramah yang bertajuk 'Hijrah Penyelamat Aqidah' yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.

 

Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban oleh Firqah Al-Falaah, Kumpulan Dikir KKBS bagi meraikan kepulangan para jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan KKBS serta jabatan-jabatan di bawahnya. 

 

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim dan Selawat Tafrijiyyah serta Sayyidul Istighfar sebagai penutup majlis.

 

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap KKBS; ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya. 

 

Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memperingati peristiwa agung Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dari Kota Mekah ke Kota Madinah, di samping memupuk semangat perpaduan, mempererat ukhuwah dan mengukuhkan hubungan silaturahim antara warga KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.




​​​​