​​​​​​​​

Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2025

01102025_Majlis Ksyukuran HAWE (19).jpg


Sumber : Siaran Akhbar JAPEM

Foto : Md Aiman Sufyan - JAPEM


Bandar Seri Begawan, Rabu, 9 Rabiulakhir 1447/ 1 Oktober 2025​ - Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2025 petang tadi yang berlangsung di Dewan Bankuet, bangunan Majlis Mesyuarat Negara.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sempena Hari Antarabangsa Warga Emas 2025.

 

Acara selanjutnya ialah penyampaian tazkirah bertajuk 'Meraih Barakah Dunia Akhirat' yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Badaruddin bin Haji Basar, Penolong Ketua Bahagian Penyebaran Da'wah (Kaunseling), Pusat Da'wah Islamiah. Antara pengisian penting yang disampaikan oleh penyampai dalam tazkirah tersebut ialah penekanan terhadap hakikat bahawa kehidupan ini merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dan wajib disyukuri oleh setiap makhluk-Nya. Menurut beliau, kehidupan yang sementara ini seharusnya diisi dengan keimanan yang teguh serta ketaqwaan yang berterusan kepada Allah SWT. Beliau turut mengajak para hadirin untuk merenung dan menyedari bahawa mensyukuri serta memanfaatkan nilai nyawa yang dipinjamkan oleh Allah SWT memerlukan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Antara bentuk kesyukuran yang sebenar ialah dengan mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebagai contoh, beliau menekankan kepentingan menunaikan solat, membaca serta menghayati al-Qur'an, bersedekah, mengamalkan sunnah Rasulullah SAW serta memperbanyakkan amalan kebaikan. Beliau mengakhiri penyampaian dengan harapan agar segala usaha ini menjadi sebab kepada keberkatan hidup serta kejayaan yang hakiki, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

 

Acara kemuncak ialah pengumuman keputusan Musabaqah Tilawatil Quran Pusat Kegiatan Warga Emas bagi tahun 1447H/2025M yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Malik bin Haji Jumat, Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Pengerusi Jemaah Hakim yang dilantik oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

Johan Qari dan Qariah ialah Yang Mulia Awang Haji Junadi bin Haji Sabtu dari PKWE Daerah Tutong dan Yang Mulia Dayang Hajah Amnah binti Md Yusof dari PKWE Daerah Brunei dan Muara, masing-masing menerima piala, sijil penyertaan, wang tunai berjumlah Lima Ratus Ringgit Brunei (BND500.00), baucar tunai dan barangan tajaan daripada bank RHB, Koleksi Husnaa (kain tenunan dan beg Jong Sarat), Halimah Habib dan Modessa.

 

Naib Johan Qari dan Qariah pula disandang oleh Yang Mulia Ustaz Dr Zulkifli bin Haji Zakaria dari PKWE Daerah Belait dan Yang Mulia Dayang Hajah Kasminah binti Gulam Muhammed dari PKWE Daerah Brunei dan Muara menerima piala, sijil penyertaan, wang tunai berjumlah Tiga Ratus Ringgit Brunei (BND300.00) baucar tunai dan barangan tajaan daripada bank RHB, Koleksi Husna, Halimah Habib dan Modessa.

 

Tempat Ketiga Qari dan Qariah dimenangi oleh Yang Mulia Awang Haji Saifuzzaman bin Haji Apong dari PKWE Daerah Temburong dan Yang Mulia Dayang Jamaliah binti Haji Pudin dari PKWE Daerah Tutong masing-masing membawa pulang piala, sijil penyertaan, wang tunai berjumlah Seratus Ringgit Brunei (BND100.00), baucar tunai dan barangan tajaan daripada bank RHB, Koleksi Husna, Halimah Habib dan Modessa.

 

Acara juga mendengarkan persembahan bacaan daripada Johan Qari dan Qariah serta diteruskan dengan Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Penghargaan kepada para pemenang Musabaqah Tilawatil Quran Pusat Kegiatan Warga Emas, juri-juri hakim dan para penaja. Majlis diakhiri dengan Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan yang dibacakan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nuurmatin bin Haji Abu Bakar, Guru Ugama daripada Pusat Bahagia Brunei dan Muara.

 

Turut hadir ialah Yang Berhormat ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Keudayaan, Belia dan Sukan, pegawai-pegawai kanan dari KKBS, KHEU, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung, Pengurus dan ahli–ahli PKWE seluruh daerah; Pertubuhan Wargamas; persatuan-persatuan bukan kerajaan, para penaja dan rakan-rakan strategik KKBS.


​​​​