Sumber : Siaran Akhbar dan Foto Jawatankuasa Kerja Penyiaran, Penerangan dan Publisiti Ceramah Perdana Majlis Ilmu Tahun 2025
BERAKAS – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman pada hari ini berkenan berangkat ke Ceramah Perdana Majlis Ilmu Tahun 2025 sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa.
Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Umi Kalthum Al-Islam Bolkiah.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2025 dan isteri-isteri serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2025.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Datin Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub, Pegawai Pelajaran Ugama Kanan, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2025.
Acara diteruskan dengan sesi Ceramah Perdana bertajuk “Wanita dan Sedekah, Jangan Pernah Berpisah" yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, Penolong Kanan Profesor, Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan, Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dan Pemangku Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Islam Sultan Sharif Ali selaku Penceramah Undangan.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri kemudiannya berkenan berangkat bagi menandatangani lembaran kenangan dan menerima pesambah. Sebelum berangkat balik meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri berkenan menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2025 dan bergambar ramai bersama dengan Ahli Jawatankuasa Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2025.
Majlis Ilmu pada tahun ini membawa tema “Negara Ditanai Dengan Sedekah" dan Ceramah Perdana hari ini merupakan lanjutan dari Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2025 pada 25 September 2024 dan Forum Perdana Majlis Ilmu 2025 pada 27 September 2025.