Sumber Berita: Dewan Bahasa dan Pustaka
Sumber Foto: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
Berakas, Sabtu, 18 Muharam 1445 / 5 Ogos 2023 – Majlis Perasmian PBB 2023 berlangsung di Dewan Perpaduan, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pagi tadi.
Majlis disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis diselajurkan dengan pelancaran 19 buah buku terbaharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (Sila rujuk Risalah Buku Terbaharu), diikuti dengan penyampaian buku terbaharu dan dokumen perjanjian kepada para penulis, seterusnya penyampaian Hadiah Buku Terlaris 2022, dan sijil penghargaan kepada para penaja. Berikut ialah judul buku yang menerima penghargaan Hadiah Buku Terlaris 2022:
- Merista Kumpulan Artikel Sejarah oleh Yang Mulia Awang Hanafi bin Haji Salleh
- Scary Dreams an Anthology of Supernatural Brunei Stories oleh Yang Mulia Awang Mohammad Hafizzul Fadlillah bin Haji Johari dan Yang Mulia Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos
- Real Ghost Stories of Borneo 5 oleh Yang Mulia Dr. Aammton Alias
- Bertaut Di Pinggir Hati oleh Yang Mulia Dr. Khadizah binti Haji Abdul Mumin
- Sahabat Karib Alya/Alya's Best Friend oleh Yang Mulia Dayang Rosmuliati binti Haji Yahya
- Komik Bahtera Zahir oleh Yang Mulia Awang Mohammad Azizul bin Haji Salam
Mulai tahun 2022, PBB diadakan dalam rangka menggema dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa dengan membawa tema Mari Membaca. Tema ini secara signifikan mendukung komitmen jabatan dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan mencintai dan mendaulatkan bahasa Melayu disinergikan dengan budaya membaca yang amat sinonim dengan proses meningkatkan daya berfikir masyarakat.
Antara objektif penganjuran PBB 2023 adalah untuk menggema dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa; mendukung Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan masyarakat bermaklumat, berpendidikan, berpengetahuan, berkualiti dan berwawasan; sebagai wadah pertemuan dan interaksi antara penerbit buku, toko buku dan masyarakat di bawah satu bumbung untuk meningkatkan daya apresiasi terhadap buku; mengeratkan jalinan kerjasama hubungan perniagaan dan permuafakatan bagi merancang strategi untuk mengembangkan industri penerbitan buku di peringkat serantau dan antarabangsa; serta memperkasa dan memasyarakatkan budaya membaca.
Selain pameran dan jualan buku, turut diadakan pelbagai kegiatan dan aktiviti sepanjang 10 hari penganjuran PBB 2023 di beberapa tempat, iaitu Pentas Kegiatan, Bilik Sejati 3 & 4, dan reruai Temu dan Sapa Bersama Penulis (Sila rujuk Jadual Kegiatan PBB 2023).
PBB 2023 diadakan selama 10 hari, bermula pada hari Sabtu – Isnin, 05 – 14 Ogos 2023, pukul 8.30 pagi – 9.30 malam, kecuali hari Jumaat, pukul 8.30 pagi – 11.30 pagi dan 2.30 petang – 9.30 malam.