​​​​​​​​

Lawatan Presiden Republik Kosovo ke Muzium Alat Kebesaran Diraja

20250506_KosovolawatanMAKD-15.jpg


Sumber : Pelita Brunei

Berita : Khartini Hamir - Penerangan

Foto : Md Azinuddin - KKBS



BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Mei. -  Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu dan First Gentleman, Mr. Prindon Sadriu serta rombongan pagi tadi mengadakan lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja sempena  Lawatan  Negara tiga hari Puan Yang Terutama ke negara ini.

 

Ketibaan rombongan Presiden Republik Kosovo dialu-alukan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad dan isteri.

 

Turut hadir, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Menteri Pengiring dan isteri.

 

Sebelum memulakan lawatan, PYT bersama suami dan rombongan bergambar ramai dan seterusnya diberikan penerangan ringkas mengenai penubuhan dan fungsi galeri berkenaan.

 

Antara yang menarik perhatian PYT dan rombongan ialah Galeri Alat-alat Kebesaran Diraja dalam Istiadat Perpuspaan yang mempamerkan alat-alat kebesaran diraja yang digunakan semasa Istiadat Perpuspaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Ogos 1968.

 

Kawasan berkenaan juga mempamerkan Usongan Diraja yang telah digunakan sebagai kenaikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Juga terdapat di muzium berkenaan ialah galeri-galeri pameran yang sebahagian besarnya mempamerkan alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja yang diwarisi sejak turun-temurun dan zaman-berzaman sebagai lambang kebesaran Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

 

Muzium Alat Kebesaran Diraja dirasmikan pada 30 September 1992 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bersempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kebawah DYMM menaiki takhta.

 

Reka bentuk bangunan Muzium Alat Kebesaran Diraja menggabungkan ciri-ciri konsep Melayu Islam Beraja (MIB) yang telah menjadi salah satu mercu tanda di negara ini dalam mempamerkan alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja NBD.

 

Selain itu juga terdapat beberapa galeri lain seperti Galeri Pameran Diraja, Pameran Jubli Perak, dan Pameran Jubli Emas : Lima Dekad di Atas Takhta Kerajaan.

 

Sebelum mengakhiri lawatan, PYT berkesudian menandatangani buku lawatan.




20250506_KosovolawatanMAKD-21.jpg​ 20250506_KosovolawatanMAKD-34.jpg 20250506_KosovolawatanMAKD-36.jpg 20250506_KosovolawatanMAKD-44.jpg 




​​​​