​​​​​​​​

Kongsi rezeki, ceriakan golongan kurang berkemampuan menjelang Aidilfitri

01042024_MajlisKhatamPusatEhsan-21.JPG


Sumber : Pelita Brunei

Berita : Khartini Hamir

Foto : Md Azinuddin - KKBS 

 

​BENGKURONG, Isnin, 1 April. - Pada menjelangnya Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan tetap menjadi tumpuan utama semua pihak di negara ini termasuk pihak kerajaan, swasta mahupun badan-badan NGO bagi sama-sama berkongsi rezeki dan meraih manfaat serta ganjaran yang besar dari Allah Subhanahu Wata'ala lebih-lebih lagi di bulan suci Ramadan ini.

 

Keceriaan itu jelas terlihat pada seramai 61 penuntut Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang terdiri daripada 13 anak yatim, 47 orang kurang berkemampuan dan seorang balu dari pusat berkenaan yang menerima sumbangan derma masing-masing pada majlis yang diadakan di Surau Pusat Ehsan, di sini, pagi tadi.

 

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

 

Juga hadir sama di majlis tersebut Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo, dan Pemegang Amanah Kesihatan Pusat Ehsan, Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Terdahulu acara dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran bacaan 30 juz oleh peserta khatam terdiri daripada individu dengan kelainan upaya dan kakitangan pusat berkenaan, diikuti dengan bacaan Takhtim, Tahlil dan Bacaan Doa Khatam yang dibacakan oleh Ketua Guru Ugama Pusat Ehsan, Awang Sanif bin Haji Tarip.

 

Majlis juga turut diserikan dengan Dikir Marhaban dipimpin oleh tenaga-tenaga Pengajar Lelaki pusat berkenaan diikuti dengan pengagihan bunga telur kepada para peserta khatam oleh tetamu kehormat majlis.

 

Dalam pada itu acara juga turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam oleh para penaja.

 

Sumbangan mula-mula diterima daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo yang menyumbangkan sebanyak BND5000.

 

Seterusnya, First Emporium and Supermarket menyumbangkan sebanyak BND4,038; Pertama Department Store dengan jumlah sumbangan BND2,225; Samima Sdn. Bhd. menyumbang sebanyak BND1,000; Halimons Sdn. Bhd. dengan sumbangan sebanyak BND1,000; Sifana Sdn. Bhd. menyumbangkan sebanyak BND1,000; serta Syarikat TSM Sdn. Bhd. dengan sumbangan sebanyak BND600.

 

Manakala Orbit Supermarket Sdn. Bhd., TM Majeed Supermarket Kilanas, Atlanta Supermarket Sdn. Bhd. Kampung Katimahar, dan Pustaka Remaja masing-masing memberikan sumbangan sebanyak BND500; Michael Sii Tuong Jie menyumbang sebanyak BND150; dan Benny Sii Tuong Kai memberikan sumbangan sebanyak BND150.

 

Sejurus itu majlis diteruskan dengan anak-anak yatim, orang kurang berkemampuan dan ibu tunggal masing-masing menerima sumbangan dan derma yang dihulurkan oleh Tetamu Kehormat dan Isteri, Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah dan para penaja.

 

Sumbangan ini bagi sama-sama memberikan keceriaan di wajah insan-insan istimewa ini, selain dapat membantu meringankan tanggungjawab harian mereka dalam membuat persiapan lebih-lebih lagi menjelangnya Aidilfitri yang bakal tiba.

 

Bagi memohon keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala, Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Guru Ugama Pusat Ehsan, Awang Sanif.


01042024_MajlisKhatamPusatEhsan-4.JPG01042024_MajlisKhatamPusatEhsan-38.JPG01042024_MajlisKhatamPusatEhsan-35.JPG01042024_MajlisKhatamPusatEhsan-133.JPG01042024_MajlisKhatamPusatEhsan-114.JPG

 


​​​​