​​​
Titah

TITAH PERUTUSAN


KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-42, TAHUN 2026

 ​


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem


Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-42 dengan tema Bersatu Mencapai Cita Negara.

Sambutan kali ini sangat istimewa kerana bertepatan dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Kedua-duanya mengingatkan kita bahawa kemerdekaan dan puasa Ramadhan tidak akan menjadi kenyataan tanpa pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan hati kita. Sambil itu, kita juga terus membina semangat membangun ekonomi bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

Kita mengucapkan syukur, usaha mempelbagaikan ekonomi negara menerusi keutamaan Economic Blueprint terus dipergiat. Antaranya pembangunan ekosistem maritime yang mendokong aktiviti transshipment melalui penyediaan kawasan ship-to-ship Lay-Up Designated Area. Ini bukan sahaja mengurangkan kos logistik, malah berupaya meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat serantau serta berpotensi untuk membuka peluang-peluang ekonomi baru.

Seiring dengan perkembangan teknologi global, negara juga turut memberikan perhatian kepada pembangunan pusat data berasaskan kecerdasan buatan ataupun Artificial Intelligence (AI). Selain membina keupayaan AI tempatan melalui usahasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tempatan, inisiatif ini juga dapat memperkukuh pembangunan teknologi strategik, memastikan keselamatan data dan memacu inovasi digital.

Aspek keselamatan makanan negara juga terus diberikan perhatian. Ini merangkumi kerjasama strategik serantau termasuk pembangunan zon makanan bersama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura melalui Brunei-Singapore Agri-Tech Food Zone. Kerjasama ini akan memperkukuhkan lagi rantaian bekalan makanan dan berpotensi menjana peluang pekerjaan dan perniagaan tempatan bagi kedua-dua buah negara.

Kerajaan Beta juga terus mempergiat pertumbuhan dalam sektor-sektor pelancongan yang berfokuskan kepada Еkо-Pelancongan. Bidang ini adalah antara lain yang menjadi keutamaan agenda pembangunan negara menerusi pelancaran Tahun Melawat Brunei 2027 yang bertepatan dengan Sambutan Jubli Intan Beta Menaiki Takhta pada tahun hadapan.

Kesemua inisiatif ini, termasuk yang digariskan di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam mentransformasikan landskap ekonomi negara serta memastikan setiap elemen pembangunan ekonomi saling berkait dan menyokong antara satu sama lain bagi menghasilkan pertumbuhan yang inklusif dan mampan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Beta menggesa para usahawan tempatan untuk memanfaatkan peluang ini sebaiknya selain terus berganding bahu dengan Kerajaan dalam merancakkan lagi aktiviti-aktiviti perekonomian negara.

Sebagai dokongan ke arah ini, sistem pendidikan negara perlu terus melalui proses penambahbaikan yang strategik untuk melahirkan bakat-bakat muda yang bukan sekadar menguasai ilmu pengetahuan malah menjadi usahawan-usahawan yang berkemahiran.

Sempena Hari Kebangsaan ini, Beta menyeru kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam, Swasta dan Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam, khasnya golongan belia, untuk terus meningkatkan dan menyemarakkan semangat patriotisme melalui penglibatan aktif dalam komuniti dan aktiviti kemasyarakatan.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas-petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa yang sama-sama terlibat menjayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke Empat Puluh Dua Tahun pada tahun ini, dalam suasana sambutan yang berbeza namun tetap bermakna.

Sekali lagi, Beta merakamkan ucapan terima kasih dan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di dalam dan di luar negeri dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Aamiin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​


​​