​​​​​​​​

Lawatan Kerja Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ke Riyadh, Kerajaan Arab Saudi

21052026_Lawatan Kerja Riyadh (2).jpeg


Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS

RIYADH, KERAJAAN ARAB SAUDI, Rabu, 3 Zulhijjah 1447 / 20 Mei 2026 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, telah mengakhiri lawatan kerja selama tiga hari ke Riyadh, Kerajaan Arab Saudi, bermula dari 17 hingga 19 Mei 2026, yang telah memperkukuhkan lagi hubungan rapat dan persaudaraan antara Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi.

 

Yang Berhormat Dato telah mengadakan perjumpaan dua hala bersama His Royal Highness Prince Abdulaziz Turki Al-Faisal Al-Saud bagi membincangkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Belia dan Sukan yang telah ditandatangani pada 6 November 2025. Kedua-dua pihak menyatakan komitmen yang kukuh untuk terus mempertingkatkan kerjasama dua hala melalui pelbagai inisiatif yang bermakna dan berimpak tinggi, khususnya dalam bidang pembangunan sukan, program pertukaran belia, pembangunan kapasiti, serta perkongsian kepakaran profesional dan amalan terbaik.

 

Semasa lawatan tersebut, Yang Berhormat Dato dan delegasi juga berkesempatan melawat beberapa kemudahan utama sukan, kebudayaan dan warisan di Riyadh bagi meninjau perkembangan pesat negara tersebut serta usaha-usaha pembangunan sukan dan pemeliharaan warisan budayanya yang kaya. Lawatan tersebut merangkumi King Fahad Sports City, Muzium Kebangsaan Arab Saudi, Regional Training Centre (Sports) di Princess Noura University, serta kawasan bersejarah Diriyah yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

 

Turut mengiringi Yang Berhormat Dato semasa lawatan tersebut ialah Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kerajaan Arab Saudi; Yang Mulia Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Arab Saudi.


21052026_Lawatan Kerja Riyadh (1).jpeg 21052026_Lawatan Kerja Riyadh (3).jpeg 21052026_Lawatan Kerja Riyadh (6).jpeg 



​​​​