​​​​​​​​

Kongres Menteri-Menteri Kebudayaan Negara-Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)

16052026_OIC Russia (2).jpeg 


Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS

RUSIA, Khamis, 26 Zulkaedah 1447/14 Mei 2026 – Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), telah menghadiri Kongres Menteri-Menteri Kebudayaan Negara-Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Kazan, Republik Tatarstan, Persekutuan Rusia. 

 

Kongres tersebut menghimpunkan wakil daripada 28 buah negara serta tiga organisasi antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama kebudayaan, pertukaran ilmu dan pembangunan hubungan strategik antara negara-negara anggota OIC dan Persekutuan Rusia. 

 

Sepanjang kongres berlangsung, perbincangan memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama termasuk dialog kebudayaan sebagai medium memperkukuh persefahaman sejagat, usaha pemeliharaan warisan budaya, serta pembangunan industri kreatif dan seni kontemporari sebagai pemangkin kemajuan ekonomi dan sosial. 

 

Pemilihan Kazan sebagai penganjur turut mengetengahkan peranannya sebagai Ibu Kota Kebudayaan Dunia Islam, sekali gus mencerminkan sumbangan signifikan Republik Tatarstan dalam mempromosikan kepelbagaian budaya, toleransi, dan keharmonian sejagat. 

 

Forum berkenaan turut menekankan kepentingan pemeliharaan warisan sejarah dan budaya dunia secara berterusan. Dalam hubungan ini, Persekutuan Rusia berkongsi pencapaiannya dalam mengurus lebih 162,000 objek warisan berdaftar termasuk 33 Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mencerminkan komitmen negara tersebut terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan warisan budaya untuk generasi akan datang.

 

Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap turut menegaskan bahawa kebudayaan dan warisan bukan sekadar mencerminkan identiti sesebuah negara, malah berperanan sebagai aset strategik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta memperkukuh industri kreatif. Beliau turut menekankan bahawa kebudayaan berperanan sebagai medium diplomasi dan jambatan dalam mempererat persefahaman negara antarabangsa.


16052026_OIC Russia (1).jpeg




​​​​