​​​​​​​​

Majlis Pelancaran Diskaun Mega Buku DBP

02052026_Diskaun Mega_DBP (2).jpeg



Sumber : Siaran Akhbar DBP

Foto : Mohd Nazib - DBP



BERAKAS, Sabtu, 14 Zulkaedah 1447/2 Mei 2026 – Dalam usaha menggalakkan budaya membaca serta membina masyarakat berilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui  Bahagian Penerbitan dan Pemasaran kembali menganjurkan Diskaun Mega Buku DBP sempena Sambutan Hari Buku Sedunia 2026. Majlis Pelancarannya telah berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, pagi tadi. 

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis seterusnya melancarkan Diskaun Mega Buku DBP ialah Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.  

 

Diskaun Mega Buku DBP pertama kalinya dilaksanakan pada tahun 2025 sebagai inisiatif proaktif DBP untuk memperluas akses masyarakat kepada bahan bacaan berkualiti, di samping menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.


Jualan ini merupakan antara usaha berterusan DBP dalam mendukung hasrat Kerajaan untuk melahirkan masyarakat berilmu, celik maklumat dan berbudaya membaca dalam menghadapi cabaran era globalisasi serta ekonomi berasaskan pengetahuan. Amalan membaca bukan sahaja membuka ruang kepada penerokaan pelbagai bidang ilmu dan pemikiran baharu, malah turut menjadi wahana penting dalam memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu sebagai identiti bangsa dan bahasa rasmi negara. 

 

Diskaun Mega Buku DBP menawarkan potongan harga sehingga 80 peratus bagi lebih 800 judul buku, majalah dan jurnal. Antara bahan yang ditawarkan termasuk buku ilmiah dan jurnal akademik; buku cerita kanak-kanak; buku rujukan istilah, daftar kata, kamus, monograf dan pedoman umum; serta karya sastera seperti cerpen, novel dan puisi.  

 

Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk membuat pembelian secara borong. Bagi kemudahan orang ramai, pelbagai kaedah pembayaran disediakan termasuk tunai, kad garut serta pembayaran dalam talian. 

 

Diskaun Mega Buku DBP tahun ini diadakan selama tiga hari, bermula Sabtu – Isnin, 14 – 16 Zulkaedah 1447 bersamaan 2 – 4 Mei 2026, dari pukul 8.30 pagi – 4.30 petang di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas. 

 

Turut hadir memberikan sokongan ialah ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, wakil perpustakaan institusi pengajian tinggi, serta pihak sekolah, termasuk para pendidik dan pelajar. 

 

Jualan ini diharap akan terus mendapat sambutan yang menggalakkan serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, khususnya dalam memperkasa ilmu pengetahuan dan memupuk minat membaca.​​




​​​​