​​​​​​​​

Mesyuarat Peringkat Menteri Asia Tenggara Mengenai Belia dan Sukan 2026

05052026_Seamy2026.jpeg

Sumber : Siaran Media KKBS



BALI, REPUBLIK INDONESIA, 5 MEI 2026 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Asia Tenggara Mengenai Belia dan Sukan 2026 yang berlangsung di Bali, Republik Indonesia, ​dari 3 hingga 5 Mei 2026. Mesyuarat tersebut, yang diterajui oleh Tuan Yang Terutama Erick Thohir, Menteri Pemuda dan Olahraga, Republik Indonesia, bertujuan menyediakan platform dialog peringkat tinggi ke arah memodenkan ekosistem sukan serantau serta membina generasi belia yang berdaya tahan. Dengan tema “Memperkukuh Kerjasama Belia Asia Tenggara dan Diplomasi Sukan ke Arah Masa Depan yang Berdaya Tahan", mesyuarat ini memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar serantau bagi memaksimumkan potensi masa hadapan dalam bidang belia dan sukan.

 

Mesyuarat ini menghimpunkan para pemimpin serantau melalui tiga sesi meja bulat strategik yang memfokuskan kepada daya tahan belia, pembangunan sukan, dan peningkatan profesionalisme ekosistem sukan. Brunei Darussalam menekankan kepentingan untuk mengamalkan pendekatan yang seimbang dan berpandangan jauh terhadap isu-isu semasa, termasuk peranan teknologi digital, dalam menyokong kesejahteraan dan pembangunan belia. Dalam memperkasa pembangunan sukan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang dapat meningkatkan standard sukan serantau, di samping memelihara dan mempromosikan sukan tradisional sebagai sebahagian daripada warisan bersama ASEAN, serta memperkukuh potensinya dalam menjana nilai komersial dan manfaat ekonomi yang lebih luas. Berhubung pemprofesionalan ekosistem sukan, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan inisiatif kerjasama serantau dan menekankan kepentingan penyelarasan yang lebih erat bagi memperkukuh penyertaan serta pembangunan atlet di seluruh negara anggota.

 

Mesyuarat tersebut diakhiri dengan pemeteraian Deklarasi Bali Mengenai Belia dan Sukan 2026, yang mengukuhkan semua komitmen bersama untuk memajukan pembangunan belia dan kecemerlangan sukan di Asia Tenggara. Mesyuarat ini telah didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Mengenai Belia dan Sukan pada 3 Mei 2026.

 

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad juga telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Tuan Yang Terutama Menteri Pemuda dan Olahraga, Republik Indonesia. Turut mengiringi Yang Berhormat Menteri sepanjang mesyuarat tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

​ 


​​​​