​​​​​​​​

Majlis Kesyukuran Sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2026

02052026_Ksyukuran HKK (8).jpg


Sumber : Siaran Akbar JAPEM

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS


Pekan Tutong, Sabtu, 14 Zulkaedah 1447/2 Mei 2026 - Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) disambut pada setiap hari Ahad pertama bulan Mei setiap tahun. Bagi tahun 2026, sambutan ini jatuh pada hari Ahad, 3 Mei 2026, dengan tema “Keluargaku, Harapanku". Bersempena sambutan HKK, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Kesyukuran di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong yang dihadiri lebih daripada 250 orang.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Sahibol Omar bin Haji Yusof, Imam Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kemudian diikuti dengan tazkirah bertajuk “Keluarga Sakinah: Dibina dengan kasih, dipelihara dengan tanggungjawab" yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.

 

Antara intipati yang disampaikan ialah kepentingan membina keluarga sakinah berasaskan kasih sayang yang bukan sahaja dirasai, tetapi turut dizahirkan melalui komunikasi yang baik, luangan masa berkualiti dan perhatian yang berterusan antara ahli keluarga. Ceramah ini menegaskan bahawa kasih sayang sahaja tidak mencukupi tanpa dipelihara dengan tanggungjawab yang menyeluruh, merangkumi aspek agama seperti pendidikan solat dan Al-Qur'an, penyediaan nafkah serta keperluan hidup, dan pembentukan akhlak yang mulia dalam suasana rumah tangga.

 

Di samping itu, ditekankan juga bahawa setiap individu adalah pemimpin dalam lingkungan keluarga dan akan dipertanggungjawabkan terhadap amanah yang dipikul. Kejayaan sebenar seseorang bukan hanya diukur melalui pencapaian di luar rumah, tetapi sejauh mana mereka mampu membina dan memimpin keluarga yang harmoni, sejahtera dan diberkati, dengan anak-anak sebagai amanah yang perlu dididik ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

Majlis diteruskan dengan Solat Fardu Asar berjemaah dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam; dan Doa Hari Keluarga yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Sahibol Omar bin Haji Yusof, Imam Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

Turut hadir ialah Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, Ahli Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan, ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, pegawai-pegawai kerajaan, penghulu dan ketua-ketua kampung, penduduk kampung, persatuan-persatuan dan rakan-rakan strategik.



02052026_Ksyukuran HKK (13).jpg 02052026_Ksyukuran HKK (21).jpg 



​​​​