​​​​​​​​

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026

29042025_JKK HKK (7).jpg



Sumber : Siaran Akhbar JAPEM

Foto : Md Aiman Sufyan - JAPEM


Bandar Seri Begawan, Rabu, 11 Zulkaedah 1447/ 29 April 2026 - Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan laporan post-mortem Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2025 dan persediaan bagi menyambut Hari Keluarga Kebangsaan 2026 yang telah berlangsung di Dewan Digadong, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

 

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Yang Mulia Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

 

Dalam ucapannya, Pengerusi Bersama menyatakan penghargaan atas kehadiran ahli-ahli Jawatankuasa serta mengalu-alukan pelantikan ahli-ahli baharu Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026. Beliau turut memaklumkan bahawa Sambutan HKK 2026 akan diraikan pada hari Ahad, 3 Mei 2026, yang didahului dengan Majlis Kesyukuran Sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2026 pada 2 Mei 2026 bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. 

 

Beliau menekankan bahawa institusi keluarga merupakan teras utama pembangunan masyarakat dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan serta membentuk masyarakat yang makmur dan berintegriti. Sambutan HKK, jelas beliau, bukan sekadar acara tahunan, malah merupakan platform penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan institusi keluarga serta membantu mencegah permasalahan sosial dan kekeluargaan di negara ini. 

 

Pengerusi Bersama turut menjelaskan bahawa dapatan daripada Social Blueprint Brunei Darussalam (SBP) telah mengenal pasti trend semasa, kekuatan serta cabaran yang dihadapi oleh institusi keluarga, yang seterusnya menjadi asas dalam merancang inisiatif dan program yang lebih relevan dan menyeluruh. SBP juga mengiktiraf institusi keluarga sebagai teras pembangunan sosial negara melalui Aspirasi 2, iaitu Memperkasa Keluarga yang Penyayang, Kukuh dan Berdaya Tahan. 

 

Selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai usaha pengukuhan daya tahan keluarga melalui pembangunan Indeks Kedayatahanan Keluarga, selaras dengan penekanan terhadap kepentingan memperkukuh institusi keluarga sebagai asas pembangunan masyarakat dan negara.  

 

Mengakhiri ucapannya, beliau menggalakkan semua pihak untuk terus berganding bahu dan memberikan komitmen bersepadu dalam merancang serta melaksanakan programprogram utama Sambutan HKK 2026 demi memastikan kesejahteraan keluarga terus diperkasa dan kekal sebagai teras pembangunan mampan negara. 

 

Antara yang dibincangkan semasa mesyuarat ini ialah mengenai pengisian sambutan HKK 2026 melalui aktiviti-aktiviti dan program-program mengikut kluster yang lebih teratur, yang diharapkan akan memudahkan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan inisiatif sempena HKK seperti Kluster Pendidikan dan Kesedaran; Keugamaan; Sukan dan Riadah; Rekreasi; Kesihatan; Pakej Promosi; dan Media dan Publisiti. Selain itu, isu Analisis Situasi Semasa (Current Situational Analysis) juga turut dibincangkan dalam memastikan program-program yang akan dilaksanakan lebih berimpak tinggi, mempunyai kualiti dan berkesan mengikut kluster-kluster yang telah dikenal pasti ke arah melahirkan keluarga dan masyarakat yang harmoni dan berdayatahan. Jawatankuasa juga mengambil maklum beberapa perancangan aktiviti/ program kekeluargaan akan dilaksanakan di peringkat akar umbi di keempat-empat daerah. 

 

Syarikat perniagaan dan pihak swasta adalah dialu-alukan untuk mengadakan pakej promosi istimewa kepada keluarga seperti pakej penginapan, pakej istimewa keluarga di restoran, taman permainan, pakej promosi kesihatan dengan objektifnya untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama ahli keluarga.

 

Orang ramai termasuk pihak media dan agensi-agensi yang berhasrat untuk mengadakan aktiviti/program sempena HKK 2026 hendaklah memaklumkan kepada Urus Setia HKK dan seterusnya memohon kebenaran untuk menggunakan logo HKK 2026 melalui e-mel bhgkwk@japem.gov.bn atau menulis surat kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Setiausaha Bersama, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026. 

 

Turut hadir ke mesyuarat ini ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang terdiri daripada, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, sektor swasta dan persatuan badan-badan bukan Kerajaan.​




​​​​