BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 April. - Pameran Bertema 'Tides Rising in the East' Picturesque Zhejiang (Brunei) dibuka dengan meriah sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-35 Hubungan Diplomatik antara Republik Rakyat China dan Negara Brunei Darussalam bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara petang tadi.
Pameran bertema 'Tides Rising in the East' Picturesque Zhejiang (Brunei), anjuran Jabatan Kebudayaan, Radio, Televisyen dan Pelancongan Wilayah Zhejiang, dengan sokongan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, serta dianjurkan bersama oleh Brunei-China Belt and Road Association telah dirasmikan dengan penuh meriah.
Berteraskan imejan utama 'pasang surut', pameran ini memaparkan secara sistematik warisan sejarah mendalam Zhejiang sebagai salah satu pusat penting tamadun maritime Republik Rakyat China serta daya hidupnya dalam membina kekuatan sebagai wilayah maritim moden melalui persembahan budaya, pertunjukan rakyat, dan pengalaman interaktif warisan budaya tidak ketara.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad; bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Chen Shaochun; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan, Radio, Televisyen dan Pelancongan Wilayah Zhejiang, Xu Xiao; Presiden Persatuan Brunei-China Satu Jalur Satu Laluan (OBOR), Ang Kian Guan, serta lebih 200 tetamu khas daripada sektor kebudayaan dan pelbagai bidang di negara ini.
Mereka berkumpul bagi menyaksikan detik penting pertukaran dan pembelajaran antara tamadun.
Dalam ucapannya, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan, Radio, Televisyen dan Pelancongan Wilayah Zhejiang, Ms. Xu Xiao menyatakan bahawa Brunei merupakan hab penting di Laluan Sutera Maritim serta wakil klasik tamadun maritim di Asia Tenggara.
Zhejiang pula katanya merupakan tempat lahirnya tamadun maritim Republik Rakyat China dan penghubung utama Laluan Sutera Maritim purba.
Beliau berharap pameran ini dapat menjadi platform untuk menggalakkan pertukaran dan pembelajaran antara tamadun serta bersama-sama menulis lembaran baharu Laluan Sutera Maritim.
Chen Shaochun pula menegaskan bahawa Republik Rakyat China dan Brunei ialah jiran mesra yang dipisahkan oleh lautan, dan Laluan Sutera Maritim purba telah mengeratkan hubungan kedua-dua negara.
Penganjuran pameran khas ini oleh Zhejiang di Brunei mencerminkan kepentingan yang diberikan oleh wilayah dan jabatan di Republik Rakyat China terhadap perkembangan hubungan Republik Rakyat China-Brunei, serta menunjukkan momentum kukuh pertukaran rakyat antara kedua-dua pihak yang semakin berkembang.
Pada majlis itu juga menyaksikan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan, Radio, Televisyen dan Pelancongan Wilayah Zhejiang dan Presiden Persatuan Brunei-China OBOR, menyertai upacara memotong reben sebagai tanda perasmian.
Sejurus itu, para tetamu kehormat kemudian dipelawa mengikuti lawatan berpandu ke ruang pameran yang dikhaskan.
Pameran tersebut menampilkan empat bahagian utama iaitu 'Sumber Pasang Surut - Gema Warisan Silam', yang menelusuri asal-usul kehidupan nenek moyang Zhejiang di pesisir laut melalui Budaya Kuahuqiao dan Budaya Hemudu; 'Pesona Pasang Surut -Kehidupan di Pesisir', yang menggambarkan semula kemeriahan perdagangan Laluan Sutera Maritim melalui pameran seperti sutera Hangzhou (Hangluo) dan teh Longjing Tasik Barat; 'Suara Pasang Surut - Luahan Jiwa', yang memaparkan seni rakyat pesisir Zhejiang melalui lukisan nelayan dan kraftangan lakuer bertatahkan mutiara; dan 'Kebangkitan Pasang Surut - Menjelajah Lautan Biru', yang memperlihatkan pencapaian cemerlang Zhejiang dalam ekonomi marin moden melalui imej Pelabuhan Ningbo Zhoushan dan Jambatan Teluk Hangzhou.
Pameran ini bukan sahaja penghormatan kepada sejarah gemilang Laluan Sutera Maritim, malah menjadi manifestasi nyata dalam era baharu, menggunakan tamadun maritim sebagai penghubung untuk meningkatkan kerjasama antara Zhejiang dan Brunei serta bersama-sama membina komuniti maritim dengan masa depan yang dikongsi bersama.
Pameran tersebut juga menampilkan ruang interaktif khas warisan budaya tidak ketara yang memfokuskan kepada budaya maritim Zhejiang.
Para tetamu dengan bimbingan pewaris warisan budaya juga telah mencuba pelbagai aktiviti unik seperti seni cap ikan dan mewarna lukisan nelayan, serta menikmati teh Longjing Tasik Barat yang merupakan salah satu daripada sepuluh teh paling terkenal di Republik Rakyat China.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyatakan harapan agar lebih ramai rakyat Brunei akan berkunjung ke pameran ini bagi memahami dengan lebih mendalam keunikan dan pencapaian tamadun maritim Zhejiang serta mengeratkan hubungan rakyat antara kedua-dua pihak.
Pameran bertema ini menzahirkan makna mendalam pembelajaran bersama antara tamadun dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan, serta meletakkan asas kukuh bagi kerjasama pragmatik yang lebih luas dan mendalam antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.