​​​​​​​​

Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2025/2026 (MUAFIQ 25/26)

23042026_Penutup MUAFIQ (7).jpg


​Sumber : Siaran Akhbar dan Foto KUPUSB



Jalan Tutong, Khamis, 23 April 2026 - Fakulti Syariah dan Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan sokongan Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menganjurkan Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2025/2026 (MUAFIQ 25/26) selama dua hari pada 22 April dan 23 April 2026 di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

 

Penganjuran persidangan selama 2 hari itu merupakan kali keempat diadakan dan tema pada tahun 2025/2026 ialah “Keluarga Bahagia Menjamin Warisan Insan Berkualiti Lagi Beriman" yang bertujuan memperkukuh institusi keluarga selaras dengan Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025–2029. Persidangan ini juga merupakan kesinambungan kepada inisiatif memperkasakan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan agar semangat kekeluargaan terus dipupuk dan diraikan sepanjang masa. 

 

Antara objektif utama Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah adalah untuk memperkukuh pembinaan keluarga berkat berteraskan konsep sakinah, mawaddah wa rahmah; memantapkan pendidikan Aqidah, Syariah dan Akhlak dalam menangani kepincangan keluarga; mengenal pasti isu serta cabaran dalam kehidupan berkeluarga dan merangka penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang ke arah kehidupan yang harmoni dan sejahtera; memperkasakan institusi keluarga melalui kemahiran keibubapaan; serta menyediakan platform bagi perbincangan ilmiah dan penyelidikan kontemporari. 

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat semasa majlis penutup ialah Yang Mulia Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

 

Sebagai sebahagian daripada pengisian Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah, satu Forum Keluarga Islam bertajuk “Gen Z: Iman Dijiwai, Peribadi Terpuji, Keluarga Diberkati" telah diadakan. Forum ini menampilkan tiga ahli panel, iaitu Yang Mulia Awang Hilman bin Haji Salim, Penolong Pensyarah, Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, KUPU SB; Yang Mulia Awang Abdul Muid bin Hariel, Pegawai Ugama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta Yang Mulia Dayang Nuramalizaan binti Haji Jamal, Pegawai Kerja Sosial, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, yang dijemput sebagai wakil JAPEM untuk berkongsi pandangan dalam forum tersebut. 

 

Persidangan tersebut turut dihadiri kira-kira 300 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, mahasiswa mahasiswi dan pelajar-pelajar Intitusi Pengajian Tinggi, pra-universiti, Pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang awam. 

 

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian Resolusi Mu'tamar Antarabangsa Fiqh AlUsrah 2025/2026 (MUAFIQ 25/26) oleh Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es KUPU SB, kepada Tetamu Kehormat. Resolusi ini bertujuan menjadi rujukan dalam memperkasa dasar, program serta tindakan strategik berkaitan pembangunan keluarga dan kesejahteraan masyarakat di Negara Brunei Darussalam, serta sebagai panduan dalam merancang dan melaksanakan inisiatif pengukuhan institusi keluarga selaras dengan Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025–2029.


23042026_Penutup MUAFIQ (6).jpg 23042026_Penutup MUAFIQ (5).jpg


 

​​​​