​​​​​​​​

Majlis Perasmian Strategi Membaca Kebangsaan

23042026_Strategi Membaca Kebangsaan (63).jpg


Sumber : Siaran Akhbar DBP

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS



BERAKAS, Khamis, 5 Zulkaedah 1447/23 April 2026 – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan telah mengadakan Majlis Perasmian Strategi Membaca Kebangsaan di Atrium, Setia Point, Jalan Jaya Setia, petang tadi. 

 

Majlis tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Buku Sedunia dan dimeriahkan dengan pelbagai pengisian program serta aktiviti, antaranya ceramah, wacana, pameran dan kegiatan yang bertujuan menggalakkan budaya membaca. Pada majlis ini juga, inisiatif strategik serta pelan tindakan Strategi Membaca Kebangsaan telah dibarigakan. 

 

Pada sebelah pagi, majlis dimulakan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Dr. Noradinah binti Haji Jaidi, Pensyarah, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam bertajuk “Bersama Membaca, Bersama Mendidik: Satu Sinergisme Bersepadu"; diikuti oleh Dr. Nordiana binti Haji Zakir, Penolong Profesor, Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak, institusi yang sama; serta Dayangku Siti Nor Fatin Hafizah binti Pengiran Samsu, Pegawai Kesejahteraan Jiwa Perklinikan, Unit Psikologi Klinikal, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Kementerian Kesihatan yang menyampaikan ceramah bertajuk “Kesan Skrin Berlebihan serta Strategi Ibu Bapa Mengawal Penggunaannya". Sesi ini mengetengahkan kepentingan membina budaya membaca dalam keluarga sebagai asas pembentukan generasi berilmu. 

 

Pada sebelah petang, Majlis Perasmian Strategi Membaca Kebangsaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Tetamu Kehormat Majlis. 

 

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Pengerusi Majlis.

 

Majlis turut diserikan dengan ucaptama oleh Yang Mulia Dr. Awang Haji Md. Rozan bin Dato Paduka Haji Md. Yunos bertajuk Memupuk “Pembaca Tahan Gangguan": Senjata Kita Menghadapi Tsunami Digital. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan usaha berterusan dalam mempertahankan budaya membaca sedia ada di samping membina budaya baharu, iaitu “Pembaca Tahan Gangguan" dalam menghadapi cabaran era digital. 

 

Sebelum majlis berakhir, Tetamu Kehormat Majlis turut menyempurnakan penyampaian hadiah bagi beberapa kategori, iaitu Kerajinan Membaca, Pusat Perhentian Perkhidmatan Perpustakaan Terbaik, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Terbaik, Rakan Kolaborasi Perpustakaan Terbaik dan Penggerak Harapan Literasi. 

 

Strategi budaya membaca ini adalah sangat signifikan dan merupakan antara usaha berterusan dan komitmen padu dalam mendukung hasrat Kerajaan untuk membina masyarakat yang berilmu, celik maklumat serta berbudaya membaca dalam menghadapi cabaran era globalisasi dan ekonomi berasaskan pengetahuan. Amalan membaca bukan sahaja membuka ruang luas kepada penerokaan pelbagai bidang ilmu dan pemikiran baharu, malah turut menjadi wahana penting dalam memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu sebagai identiti bangsa dan bahasa rasmi negara. Usaha ini sekali gus berperanan memelihara identiti, memperkaya warisan serta memperteguh jati diri bangsa, agar terus kekal relevan dan dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.

 

Hari Buku Sedunia adalah satu sambutan global yang bertujuan untuk menghargai buku, penulis dan budaya membaca. Peringatan ini juga menekankan kepentingan hak cipta dan perlindungan harta intelek dalam dunia penerbitan dan penulisan. Sambutan Hari Buku Sedunia disambut oleh lebih 100 buah negara, termasuk Negara Brunei Darussalam.​



23042026_Strategi Membaca Kebangsaan (50).jpg 23042026_Strategi Membaca Kebangsaan (60).jpg 23042026_Strategi Membaca Kebangsaan (13).jpg 23042026_Strategi Membaca Kebangsaan (145).jpg 




​​​​