.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar JBS
Foto : Adi Muadz - JBS
BERAKAS, Khamis, 27 Syawal 1447/16 April 2026. – Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Pantai Asia Ke-6 yang akan berlangsung secara rasminya bermula pada 22 hingga 30 April 2026 di Sanya, Republik Rakyat China.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 8 orang terdiri 4 orang atlet dan 4 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia/Pegawai Safeguarding/Prevention of Manipulation of Competition dan Jurulatih.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Pantai Asia Ke-6, Sanya, Republik Rakyat China telah berlangsung di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Berangkat bagi menyempurnakan majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kemuncak majlis ialah sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan seterusnya penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam oleh Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kepada Yang Mulia Pengiran Abdul Raub bin Pengiran Haji Ghani selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Pantai Asia Ke-6, Sanya, Republik Rakyat China. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat dan diselajurkan dengan bergambar ramai bersama Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Edisi Sukan Pantai Asia kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 2 acara sukan iaitu Olahraga Pantai dan Teqball Pantai. Tahun ini merupakan penyertaan negara kali ke-6 pada Sukan Pantai Asia dan penyertaan terakhir negara ialah pada tahun 2016 di Sukan Pantai Asia Ke-5 di Da Nang, Vietnam.
Penyertaan ini juga mencerminkan komitmen negara dalam menyokong penglibatan wanita dalam sukan, selaras dengan usaha memupuk kesaksamaan jantina (inclusivity of women in sports) dalam arena sukan kompetitif.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan; dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta keluarga atlet.
Kontinjen negara dijangka akan bertolak ke Sanya, Republik Rakyat China pada hari Sabtu, 18 April 2026.
.jpg)
.jpg)