​​​​​​​​

Majlis Ramah Mesra bersama pelatih-pelatih Pusat Bahagia

15042026_Raya Pusat Bahagia (7).jpg


Sumber : Siaran Akhbar JAPEM

Foto : Md Aiman Sufyan - JAPEM


Berakas, Rabu, 15 April 2026 -  Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Peak Performance Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama pelatih-pelatih Pusat Bahagia (PB) empat daerah sempena Hari Raya Aidilfitri 1447 / 2026 bertempat di Dewan Peak, Peak Club, Lebuhraya Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Hannafi bin Haji Sunny, Ketua Guru Ugama, Pusat Bahagia Eric Goh, Kuala Belait.


Majlis diserikan dengan beberapa persembahan menarik berupa nyanyian dan tarian bertemakan Hari Raya daripada pemenang-pemenang OKU Got Talent (OGT), pelatih-pelatih Pusat-Pusat Bahagia dari keempat-empat daerah, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Brunei Darussalam (BNAB) serta daripada pegawai dan kakitangan Pusat Bahagia.


Majlis ramah mesra ini diadakan bagi meraikan pelatih Pusat-Pusat Bahagia dalam suasana yang meriah dan penuh kegembiraan, sekali gus memperkukuh ikatan silaturahim antara pelatih Pusat Bahagia di keempat-empat daerah serta dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementerian, Peak Performance Sendirian Berhad dan rakan-rakan strategik KKBS. Selain memberi peluang kepada pelatih-pelatih merasai kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini juga diharapkan sebagai satu platform penting untuk menyerlahkan bakat, meningkatkan keyakinan diri dan juga kemahiran interaksi sosial mereka dalam komuniti. Di samping itu, majlis ini berperanan sebagai wadah untuk menyemai budaya kunjung-mengunjungi semasa Hari Raya Aidilfitri serta memupuk semangat inklusif melalui penggalakan penyertaan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam sambutan kemasyarakatan agar mereka tidak berasa terpinggir. Pada masa yang sama, majlis ini turut meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU, di samping menyemai nilai kasih sayang, empati dan sikap prihatin, sekali gus mewujudkan suasana kegembiraan bersama dalam kalangan masyarakat.


Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Ketua-Ketua Jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Ahli Persatuan-Persatuan di bawah Majlis Kebangsaan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Rakan-Rakan strategik dan Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis. 


15042026_Raya Pusat Bahagia (5).jpg 15042026_Raya Pusat Bahagia (9).jpg


 


​​​​