​​​​​​​​

MAJLIS SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA TAHUN 2026

IMG_2585.jpg

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

(KKBS) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2026 bertempat di
Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi
Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang
Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan
Masyarakat selaku Pengerusi Majlis.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Sambutan Hari Wanita Antarabangsa merupakan
platform penting untuk mengiktiraf sumbangan serta pencapaian wanita dalam pelbagai bidang
pembangunan negara. Beliau turut menekankan bahawa tema tahun ini, “Melindungi,
Mengupayakan dan Memperkasa: Kemajuan Wanita dalam Masyarakat,” mencerminkan
komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh perlindungan, kesejahteraan serta
peluang pembangunan bagi wanita dan gadis. Beliau seterusnya menyentuh mengenai dapatan
Penyelidikan Mengenai Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam yang
menunjukkan kemajuan memberangsangkan dalam penyertaan wanita dalam pendidikan dan
tenaga kerja, di samping menekankan kepentingan memperkukuh sokongan kepada wanita
bekerja serta mengiktiraf peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat. Beliau juga
menyatakan bahawa dapatan penyelidikan tersebut akan menjadi asas kepada penggubalan
Pelan Tindakan Wanita 2026-2030 bagi terus memperkasa peranan wanita dalam keluarga,
komuniti dan pembangunan negara.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pelancaran penerbitan Buku Ringkasan Eksekutif
Penyelidikan Mengenai Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam yang
disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.

Majlis turut menyaksikan penyerahan Buku Ringkasan Eksekutif kepada ahli Majlis Mesyuarat
Negara, ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Majlis
Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) dan Centre for Strategic and Policy Studies sebagai rujukan
dalam usaha memperkukuhkan inisiatif dan program pembangunan wanita di negara ini.

Buku Ringkasan Eksekutif Penyelidikan Mengenai Pembangunan Wanita di Negara Brunei
Darussalam yang dilancarkan dalam majlis ini boleh diakses oleh orang ramai dalam bentuk
salinan digital melalui laman sesawang rasmi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
(KKBS) sebagai sumber rujukan dalam usaha memperkukuh inisiatif pembangunan wanita di
negara ini.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Hari Wanita Antarabangsa serta Doa
Allah Pelihara Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Yang Mulia Ustaz
Awang Mohammad Shahrin Bin Sulaiman, Ketua Guru Ugama, Jabatan Pembangunan
Masyarakat.

Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun merupakan satu detik penting
dalam mengiktiraf sumbangan serta pencapaian wanita di seluruh dunia. Tahun 2026
menandakan kali ke-13 Negara Brunei Darussalam meraikan sambutan ini.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang
Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) Jabatan
Perdana Menteri,Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap
(Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi
binti Haji Wahsalfelah,Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan. Hadir sama ialah ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan
Kanak-Kanak, Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), pegawai-pegawai kanan kerajaan serta
jemputan-jemputan khas.​
IMG_2539.jpg


​​​​