​​​​​​​​

Majlis Membaca Surah Yasin Dan Bertahlil Di Makam Diraja

IMG_0643.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Ramadan 1447/10 Mac 2026 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Bertahlil dan Membaca Surah Yasin khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim. Majlis berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.


Hadir mengetuai rombongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Hisyamuddin bin Haji Mohd Noor, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pejabat Hal Ehwal Masjid, Daerah Brunei dan Muara.


Majlis tahlil ini merupakan antara acara keugamaan tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang diungkayahkan oleh Jabatan Muzium-Muzium. Majlis ini dapat mengimarahkan bulan Ramadan dengan amalan keagamaan serta mengeratkan lagi hubungan silarturahim dalam kalangan para pegawai dan kakitangan serta jemputan yang hadir.


Turut hadir, Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Jabatan, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya, Persatuan-Persatuan Belia, Persatuan Belia-Belia Masjid, Persatuan-Persatuan Sukan, Jurulatih-Jurulatih Sukan, Pusat Kegiatan Warga Emas, pihak NGO serta pihak-pihak yang berkepentingan yang lain.


​​​​