​​​​​​​​

MAJLIS KHATAM AL-QURAN 42 KALI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-42, TAHUN 2026

PRKKBS_-51.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, SELASA, 20 Ramadan 1447 / 10 Mac 2026 – Majlis Khatam Al-Quran 42 Kali sebagai salah satu acara sampingan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 telah diadakan secara serentak di keempat-empat daerah pada hari ini dengan tumpuan utama bagi Daerah Brunei dan Muara di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai daripada Surah ad-Dhuha hingga Surah al-Masad yang dikepalai oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohammad Hafizuddin bin Mohammad Sainin, mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Sementara Doa Khatam pula dibacakan oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kemudian diikuti dengan Dikir Marhaban daripada Mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Imam Haji Hariz bin Haji Subuh, Penguasa Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Bagi Daerah Belait, majlis diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai daripada Surah ad-Dhuha hingga Surah al-Masad yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Alif Muradi bin Azri, Penuntut Tahun 13SCI5, Pusat Tingkatan Enam dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran diketuai oleh Yang Mulia Dayang Hajah Hamsiah binti Haji Mohd Hussein, Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Kampong Pandan dan bacaan Doa Khatam oleh Yang Mulia Awangku Syazwan Sahah bin Pengiran Damit, Penuntut Tahun 7, Sekolah Arab Belait. Majlis kemudian diteruskan dengan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Ahmeddani bin Haji Abdul Rahman, Gabungan Ahli Pusat Kegiatan Warga Emas Kuala Belait dan Penuntut Sekolah Menengah Perdana Wazir dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Qayyuum bin Haji Aminuddin, Imam Masjid RPN Kampung Pandan.

Manakala di Daerah Tutong pula, majlis telah diadakan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai daripada Surah ad-Dhuha hingga Surah al-Masad yang dikepalai oleh Yang Mulia Awang Muhd Syahmi bin Muhd Norawi, penuntut Mahad Islam Brunei dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran diketuai oleh Yang Mulia Dayang Nur Damia Faqihah binti Mohd. Aji, penuntut Sekolah Menengah Sufri Bolkiah. Doa Khatam pula dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Junadi bin Haji Sabtu, Ahli Pusat Warga Emas, Tutong dan seterusnya Dikir Marhaban diketuai oleh kumpulan dikir dari Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam daripada Yang Mulia Awang Abd. Raqib bin Haji Awang, Imam Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai.

Sementara di Daerah Temburong, tumpuan majlis adalah di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie dan hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai daripada Surah ad-Dhuha hingga Surah al-Masad yang diketuai oleh Yang Mulia Nazirul Aiman bin Abdullah kemudian diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran dikepalai oleh Yang Mulia Awang Mohamad Zulkhairi Bin Mohamad Azamy, Bilal Masjid RPN Kampung Rataie. Doa Khatam pula dibacakan oleh Yang Mulia Awang Hj Md Asri Bin Hj Timbang, Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam daripada Yang Mulia Awang Mahdini bin Khamis, Imam Masjid RPN Kampung Rataie.

Majlis Khatam Al-Quran 42 Kali melibatkan lebih 1,400 orang peserta di keempat-empat daerah yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, penuntut-penuntut Institusi Pendidikan Teknikal Brunei, penuntut-penuntut maktab dan sekolah menengah, sekolah arab, ahli-ahli persatuan belia dan sukan serta pergerakan-pergerakan belia, pelatih Pusat Pembangunan Belia, sukarelawan-sukarelawan, belia-belia masjid, ahli-ahli Pertubuhan Wargamas dan Pusat Kegiatan Warga Emas serta qari dan qariah.

Majlis ini diadakan adalah bertujuan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama pembacaan Al-Quran selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir. Dengan adanya majlis seumpama ini juga secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi persefahaman serta kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta masyarakat ke arah menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan .

“Bersatu Mencapai Cita Negara”
- TAMAT -​


​​​​