​​​​​​​​

MESYUARAT KE-34 MAJLIS KOMUNITI SOSIO-BUDAYA ASEAN (ASCC) DAN MESYUARAT-MESYUARAT BERKAITAN MAKATI, REPUBLIK FILIPINA


WhatsApp Image 2026-03-09 at 10.59.10.jpeg

MAKATI, REPUBLIK FILIPINA, 3 – 6 MAC 2026 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Menteri Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) bagi Negara Brunei Darussalam, telah menghadiri Mesyuarat ASCC Ke-35 yang telah diadakan pada 5 Mac 2026 di Makati City, Republik Filipina. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Rex Gatchalian, Secretary of Social Welfare and Development, Republik Filipina, di bawah tema Kepengerusian ASEAN Filipina, “Navigating Our Future, Together”. Timor-Leste telah menyertai mesyuarat ini buat pertama kalinya sebagai ahli ASEAN.

Semasa mesyuarat tersebut,MenterMenteri ASCC menegaskan semula komitmen bersama untuk memajukan ASEAN yang berteraskan rakyat, inklusif, dan berdaya tahan,sejajar dengan peralihan daripada Pelan Tindakan ASCC 2025 kepada pelaksanaan Pelan Strategik ASCC di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2045. Menteri-Menteri ASCC turut mengiktiraf peranan penting ASEAN Database for Monitoring and Evaluation (ADME) System serta menekankan kepentingan penyelarasan rentas-tunggak dan rentas-sektor dipertingkatkan bagi memastikan inisiatif-inisiatif ASEAN memberi impak yang boleh diukur dan bermakna kepada masyarakat di rantau ini.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Menteri-Menteri ASCC lain telah menyatakan sokongan terhadap keutamaan-keutamaan ASCC Filipina dalam membina keluarga yang berdaya tahan dan perkasa, inklusiviti sosial, belia bijak dan inovatif, serta masa depan yang mampan dan terjamin dari segi keselamatan makanan.

Yang Berhormat Menteri menekankan peranan utama institusi keluarga dan mengongsikan pengemaskinian terhadap Pelan Tindakan Institusi Keluarga Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa. Peranan kolektif Badan-Badan Sektoral ASCC dalam memperkasa belia turut
diketengahkan, khususnya dalam mempersiapsiagakan belia ke arah membina komuniti yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana, dan telah mengongsikan mengenai pengenalan modul pengurusan bencana dalam Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).


Yang Berhormat Menteri bersama Menteri-Menteri ASCC, turut memuji usaha dalam memajukan inisiatif komunikasi dan penyebaran maklumat Pelan Strategik ASCC baginmemastikan pemilikan bersama (collective ownership) serta kefahaman yang menyeluruh
terhadap Pelan tersebut. Yang Berhormat Menteri menegaskan bahawa walaupun ASEAN telah mencapai pelbagai kejayaan di bawah Pelan Tindakan ASCC 2025, ukuran sebenar kejayaan terletak pada sejauh mana dasar-dasar tersebut meningkatkan kehidupan seharian rakyat ASEAN, dan menyeru bagi mekanisma pemantauan dan penilaian yang lebih berkesan dan penyelarasan yang lebih mendalam antara sektor dan tunggak ASEAN; serta memperkukuh komunikasi dan jangkauan agar usaha ASEAN lebih difahami dan dirasai oleh rakyatnya.

Sebelum mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyertai Menteri-Menteri ASCC serta wakil sebagai ahli panel dalam ASCC High Level Forum 2026 pada 4 Mac 2026, sebagai platform penting pengongsian pandangan ASCC di peringkat tinggi ketika ASEAN melangkah ke arah pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2045. Yang Berhormat Menteri menekankan kepentingan memperkasa belia ASEAN sebagai rakan peneraju dan arkitek bersama masa depan rantau ini dengan melangkaui penyertaan semata-mata ke arah kepimpinan belia yang bermakna serta penciptaan bersama dasar, berteraskan ASEAN centrality and outward-looking, yang diperkukuh melalui penyelarasan rentas-tunggak. Yang Berhormat Dato turut menegaskan keperluan pendidikan holistik, pembelajaran sepanjang hayat dan ekosistem inovasi bagi melengkapkan belia dengan daya tahan dalam landskap global yang pesat berubah. Antaralain, Yang Berhormat Menteri turut mengongsikan mengenai (i) Youth Town Hall yang diadakan di Negara Brunei Darussalam, sebagai platform bagi belia berbincang secara langsung bersama dengan para Menteri untuk meningkatkan pengetahuan, permerkasaan dan kerjasama kearah pertumbuhan ekonomi dan sosial Negara Brunei Darussalam; dan (ii) Bas Belia BIMP-EAGA yang diperkenalkan oleh Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025, yang telah memberikan pendedahan bermakna kepada para belia kepada pelbagaian sosio-budaya, potensi ekonomi dan peluang kerjasama. Forum tersebut telah diakhiri dengan pengesahan “ASCC Ministerial Statement on Empowering ASEAN Peoples” yang menegaskan komitmen bersama ASEAN untuk memperkasa individu, keluarga dan komuniti sebagai agen perubahan aktif dalam pertumbuhan, integrasi dan proses menuju Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Mesyuarat Ke-35 Majlis ASCC dan ASCC High Level Forum 2026 telah didahului oleh Mesyuarat Ke-40 Senior Officials’ Committee for ASEAN Socio-Cultural Community (SOCA) yang diadakan pada 2 - 3 Mac 2026.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah disertai oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin bin Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Ketua SOCA Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

WhatsApp Image 2026-03-09 at 10.59.11.jpeg 


​​​​