.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar JAPEM
Foto : Md Aiman Sufyan- JAPEM
Jerudong, Rabu, 7 Ramadan 1447 / 25 Februari 2026 - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim peringkat kebangsaan hari ini bertempat di Dewan Dar-Al Intisar, Kompleks Sukan Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat bersama bagi menyampaikan derma ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Bagi memberkati majlis, acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah An-Nisa ayat 36 hingga 42 oleh YM Awang Chik Akbar Hashemy @ Dimas Bin Ahmad Hilmi dan kemudian diterjemahkan oleh YM Awang Muhammad Azka Ajyad Bin Haji Mayadi. Kedua-dua pembaca adalah penuntut daripada Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Acara juga diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh YM Haji Mohd Zaidin bin Haji Mohd Noor, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong.
Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian Skim Hadiah Galakan Pelajar-pelajar Cemerlang yang disumbangkan oleh BIBD. Pada tahun ini seramai 12 orang anak-anak yatim yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peringkat 'O', Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) pada tahun 2025 menerima hadiah galakan. Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam.
Pelajar-pelajar tersebut ialah;
Pelajar Cemerlang bagi Peringkat 'O'
i. YM Dayang Sharifah Habibah binti Mohammad Shariff
ii. YM Awang Melvin Tan Liang Kwang
iii. YM Dayang Nurhana Aqilah binti Saiful Bahrin
Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB)
i. YM Awang Muhammad Norafie bin Muhammad Roslan
ii. YM Dayang Siti Nurbasyirah binti Huzaimi
iii. YM Awang Muhammad Irfan bin Haji Abd Rahman
Pelajar Cemerlang bagi Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB)
i. YM Dayang Siti Nurnnajihah binti Haji Yahmiruddin Shah
ii. YM Dayang Nur Nabilah Syauqina binti Sapree
iii. YM Dayang Hamimi Nurfaqihah Zahirah binti Haji Abdul Kifli
Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR)
i. YM Dayang Maizatul Mazeedah binti Abdul Rahim
ii. YM Dayang Nursarah Ferhanah binti Zainal
iii. YM Dayang Nur Zahirah Bazilah binti Mahmood
Majlis kemudian diikuti dengan penyampaian sampul-sampul derma kepada 3,061 orang anak-anak yatim yang berdaftar di bawah JAPEM oleh tetamu kehormat bersama.
Daripada jumlah tersebut, seramai:
• 1,998 orang adalah anak yatim yang berdaftar di Daerah Brunei dan Muara;
• 479 orang anak yatim berdaftar di Daerah Tutong;
• 446 orang anak yatim berdaftar di Daerah Belait dan;
• 138 orang anak yatim yang berdaftar di Daerah Temburong.
Derma yang dihulurkan merupakan sumbangan melalui gabungan Tabung Anak-Anak Yatim JAPEM, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara dan sumbangan daripada BIBD pada tahun ini. Jumlah sumbangan yang dihulurkan melalui Tabung AnakAnak Yatim JAPEM adalah sebanyak BND306,100.00. Manakala, Tabung Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara menyumbangkan sejumlah BND61,220.00 dan sumbangan daripada BIBD berjumlah BND153,050.00.
Urus Setia Tabung Anak-Anak Yatim sangat mengalu-alukan sumbangan derma dari orang ramai bagi sama-sama menghulurkan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah pendaftaran kebangsaan. Sumbangan derma tersebut bolehlah dihulurkan melalui kaedah berikut:
• Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Tingkat 2, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa waktu pejabat sahaja, atau;
• Melalui sistem pesanan ringkas (SMS) Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim yang berlangsung selama 9 bulan mulai 12 Februari 2026 hingga 12 November 2026 dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100. Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah B$20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan Imagine hantar kepada 39999; atau
• Melalui BIBD online atau memasukkan derma ke nombor akaun 0000-101-004-9034 di bawah nama akaun “Tabung Anak-Anak Yatim".
Di samping itu, kaunter-kaunter pendaftaran anak-anak yatim juga turut dibukakan selama dua hari, iaitu 25 Februari 2026 dan 26 Februari 2026 bertempat di Hab Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di talian 2382911/2381903 sambungan 1336/1338 pada waktu pejabat atau menghubungi Talian Kebajikan 141 atau Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.
Mudah-mudahan dengan adanya sumbangan daripada orang ramai akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal selain meraih pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan sekaligus untuk mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Zainol bin Mohamed, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Tutong dan Temburong, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, Penghulu, Ketua-ketua Kampung, wakil BIBD dan Pemangku Pengarah JAPEM selaku Pengerusi Majlis.