.jpg)
Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS
DAERAH BRUNEI DAN MUARA, Khamis, 08 Ramadan 1447/26 Februari 2026 – Dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jabatan-Jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran di Masjid Kampong Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.
Majlis ini dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid, Masjid Kampong Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.
Majlis Tadarus Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bergilir-gilir serta disusuli dengan bacaan Doa Khas bagi Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang dibaca oleh Yang Mulia Awang Muhammad Arif bin Haji Johari, Imam Tingkat I, Masjid Kampong Pulaie.
Majlis ini diteruskan lagi dengan penyampaian wakaf kepada Imam Masjid Kampong Pulaie. Majlis ini diakhiri dengan sembahyang fardu Asar berjemaah.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Jabatan, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya dan para jemaah Masjid Kampong Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.
Majlis Tadarus Al-Quran merupakan antara program keagamaan tahunan yang diadakan pada setiap bulan Ramadan yang diungkayahkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya. Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memperkukuhkan penghayatan terhadap Al-Quran di samping mengeratkan tali silaturrahim dalam kalangan para pegawai dan kakitangan kementerian serta jemaah masjid dan seterusnya bagi meraih keberkatan serta ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang bulan yang penuh rahmat ini.
.jpg)