.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar Kementerian Pendidikan
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS
TUNGKU LINK – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan selaku penganjur bersama pada hari ini telah mengadakan Forum Khas Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan.
Turut hadir semasa forum khas tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026.
Antara tujuan forum khas ini diadakan adalah untuk menyemai aspirasi kemerdekaan bagi memastikan generasi masa kini memahami makna kedaulatan negara dengan lebih mendalam. Selain itu, forum khas ini turut memberi penekanan kepada Wawasan 2035 dengan mengetengahkan perjalanan pembangunan ekonomi, sosial, dan kerohanian negara, di samping memperkasa generasi baharu dalam memupuk semangat patriotisme serta penghargaan terhadap kemajuan yang telah dicapai.
Forum khas ini dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Muhaimin bin Dr Haji Serbini, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam.
Acara kemudiannya diteruskan dengan tayangan klip video khas yang memaparkan wawancara eksklusif bersama tokoh pemimpin dan sejarawan negara mengenai perjuangan kemerdekaan serta pengalaman mereka dalam menyaksikan pembangunan negara pasca 1984.
Kemuncak acara ini ialah Sesi Panel Forum Khas yang dimudah cara oleh Yang Mulia Dr. Awang Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk, Penolong Ra'es III (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Forum khas tersebut menampilkan empat (4) orang ahli panel terdiri daripada para pegawai kanan dan tenaga akademik dalam bidang-bidang yang berkaitan ekonomi, pendidikan dan sosial bagi membincangkan hala tuju negara dalam konteks pembangunan pasca kemerdekaan serta aspirasi masa hadapan Negara Brunei Darussalam, iaitu:
i. Yang Mulia Dayang Noor Dina Zharina binti Haji Yahya, Pemangku Pengarah Dasar dan Strategi Tenaga, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri;
ii. Yang Mulia Dayangku Norhanidah binti Pengiran Haji Masshor, Pemangku Pengarah, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi;
iii. Yang Mulia Dayang Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman, Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kementerian Pendidikan;
iv. Yang Mulia Ustaz Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama
Acara turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Yang Mulia Awang Muhammad Firdaus bin Awang Abdul Sani, pelajar Master of Teaching di Universiti Brunei Darussalam. Sajak yang dipersembahkan bertajuk “Lewat Gerbang Kemerdekaan" yang merupakan sebuah karya sastera hasil ciptaan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ke acara tersebut ialah Timbalan-Timbalan Menteri dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Naib-Naib Canselor dan Rektor; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; para belia daripada agensi kerajaan dan persatuan-persatuan belia; para pelajar daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta; serta para pelajar dari sekolah-sekolah menengah dan pusat-pusat tingkatan enam.
.jpg)
.jpg)
.jpg)