​​​​​​​​

Upacara Menurunkan Bendera Besar Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD ke42, Tahun 2026

25022026_Menurunkan Bendera_KKBS (39).jpg


Sumber : Siaran Media Urus Setia Hari Kebangsaan/KKBS

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS​

 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Ramadan 1447/25 Februari 2026 – Upacara Menurunkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada hari ini menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera di seluruh negara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026. Upacara ini diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi menyempurnakan upacara tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026. 

 

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa “Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam" oleh Yang Mulia Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop, Imam Tingkat I, Masjid Omar 'Ali Saifuddien. 

 

Seterusnya, penurunan Bendera Besar dilaksanakan oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei yang bergerak masuk dengan diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei. Upacara diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan". Bendera Besar yang diturunkan kemudian diserahkan kepada Tetamu Kehormat Majlis bagi menandakan berakhirnya pengibaran bendera di seluruh negara secara rasmi. 

 

Turut hadir ke upacara tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026.​


25022026_Menurunkan Bendera_KKBS (43).jpg 25022026_Menurunkan Bendera_KKBS (46).jpg 



​​​​