.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar KHEU
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS
Negara Brunei Darussalam, Selasa, 06 Ramadan 1447 Bersamaan 24 Februari 2026- “Dalam usaha mencapai Wawasan Negara, perlu menerapkan beberapa aspek penting dari sisi agama Islam. Pertama, mengukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan memelihara segala perintahNya, beriman dengan sebenar-benar iman, memperbanyak amal soleh dan istiqamah dalam menghambakan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Kedua, membina dan mengukuhkan perpaduan. Setiap perancangan akan lebih mudah dan efektif apabila dilaksanakan secara bersama, saling melengkapi antara satu dengan yang lain serta bersatu hati dan jiwa dalam mewujudkan Wawasan Negara. Inilah antara faktor yang menjadikan sesebuah negara Islam sentiasa maju dan gemilang. Apabila agama menjadi keutamaan dalam setiap aspek kehidupan serta perpanduan dijadikan kekuatan, maka usaha membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera akan dapat direalisasikan."
Perkara tersebut merupakan antara inti pati Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-220 dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 yang diadakan secara fizikal pada pagi tadi dengan tumpuan utama majlis di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Hadir sama ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan; Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh; Menteri Pendidikan; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Munajat Khas tersebut turut diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di keempat-empat daerah sebagai tumpuan utama majlis.
Bagi Daerah Belait, di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Hadir sama ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Di Daerah Tutong, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Hadir ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Manakala Daerah Temburong, di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar. Hadir, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd.Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Turut hadir ialah Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri; Yang Mulia Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Yang Mulia Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta warga kementerian-kementerian; anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah yang hadir secara fizikal dan maya. Juga mengikuti secara maya ialah guru-guru dan para pelajar dari sekolah-sekolah arab, ugama, rendah serta swasta di seluruh negara.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Manakala Doa Munajat Khas dibacakan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.
Majlis diteruskan dengan bacaan Tadabbur Al-Qur'an oleh Yang Mulia Awang Ahmad Zulwagar bin Haji Suhaili, Johan Qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446H / 2025M; Yang Mulia Haji Awang Mohamad Zul-Hafiz bin Awang Tengah, Johan Qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442H / 2021M dan 1443H / 2022M; dan Yang Mulia Awang Haji Hazwan bin Haji Salim, Johan Qari Musabaqah Tilawah Quran Belia Kebangsaan Tahun 1443H / 2022M.
Sejurus selesai Tazkirah, diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 bertujuan untuk memupuk kesedaran dan penghayatan bahawa kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan negara adalah nikmat yang wajib disyukuri serta dipelihara bersama.
Melalui munajat yang dipanjatkan, seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam diseru untuk memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, di samping memohon keberkatan, perlindungan serta rahmat-Nya agar negara terus kekal aman, stabil dan makmur di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Penganjuran ini juga mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama antara agensi kerajaan serta seluruh lapisan masyarakat dalam menghayati erti kemerdekaan dan kedaulatan negara, selaras dengan tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, “Bersatu Mencapai Cita Negara".
.jpg)
.jpg)