​​​​​​​​

Majlis perasmian Projek Giant Artwork 42

16022025_Giant Artwork NBD42 (3).jpg



Sumber : Siaran Media KKBS

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS



BERAKAS, Isnin, 28 Syaaban 1447/16 Februari 2026 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengadakan projek Giant Artwork 42 bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42. Majlis ini diadakan di Hub Belia, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

 

Projek ini sebelumnya dikenali sebagai Hashtag Negara Brunei Darussalam yang telah mula dilaksanakan sejak tahun 2019 dan menjadi antara elemen dekorasi seni utama dalam memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsafelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat majlis.

 

Projek ini merupakan inisiatif kolaboratif yang melibatkan para penggiat seni tempatan, sukarelawan, agensi kerajaan dan sektor swasta di negara ini sebagai manifestasi sokongan serta penyertaan bersama dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh kecintaan terhadap tanah air.

 

Objektif projek ini dilaksanakan adalah seperti yang berikut:

-          Menyediakan platform kolaborasi kepada penggiat seni, agensi kerajaan dan sektor swasta untuk menyalurkan kreativiti melalui seni awam.

-          Memartabatkan seni dan bakat tempatan sebagai elemen identiti Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

-          Meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar melalui penggunaan bahan kitar semula selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

-          Memperindahkan ruang awam serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti riadah dan apresiasi seni.

 

Seramai 53 orang pelukis dan sukarelawan terlibat secara langsung dalam menjayakan projek pada tahun ini. Turut menyumbang tenaga dan komitmen ialah 50 orang klien Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta 5 orang pegawai yang berganding bahu dalam penghasilan karya seni berskala besar ini.

Projek ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakan strategik, iaitu Unified National Networks (UNN) Sdn Bhd, Thredz Brunei, AkzoNobel (jenama cat Dulux), The Birdhouse Studio serta Low San Hardware. Sokongan yang diberikan merangkumi sumbangan kepakaran, bahan, logistik dan penglibatan kreatif bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini.

 

Projek Giant Artwork 42 bukan sahaja menjadi simbol kreativiti dan perpaduan, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk nilai patriotisme, kebersamaan dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat. Diharap projek ini akan terus menjadi platform penyatuan komuniti dalam sama-sama menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.



16022025_Giant Artwork NBD42 (5).jpg 16022025_Giant Artwork NBD42 (4).jpg





 


​​​​