.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar JAPEM
Foto : Md Aiman Sufyan - JAPEM
Berakas, Khamis, 24 Syaaban 1447/ 12 Februari 2026 - Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), Datastream Digital Sendirian Berhad (DST), Progresif Sendirian Berhad dan Imagine Sendirian Berhad telah melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim 1447/2026 hari ini bertempat di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kutipan derma melalui SMS yang dilancarkan pada hari ini akan berlangsung selama sembilan (9) bulan bermula 12 Februari 2026 dan berakhir pada 12 November 2026. Oleh yang demikian, orang ramai bolehlah menderma melalui perkhidmatan SMS yang disediakan dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100. Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan Imagine hantar kepada 39999.
Majlis juga diselajurkan dengan penyerahan derma hasil kutipan SMS Brunei Prihatin yang dikumpulkan pada tahun 1446H/2025M daripada syarikat-syarikat telekomunikasi kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Jumlah kutipan SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-Anak Yatim 1446/2025 berjaya mengumpul sebanyak BND185,826.00 (Dolar Brunei: Satu Ratus Lapan Puluh Lima Ribu Lapan Ratus Dua Puluh Enam). Daripada jumlah tersebut;
• Sebanyak BND135,353.00 (Dolar Brunei: Satu Ratus Tiga Puluh Lima Ribu Tiga Ratus Lima Puluh Tiga) adalah sumbangan daripada DST Sdn Bhd iaitu sebanyak BND125,353.00 adalah hasil kutipan daripada pelanggan DST dan sejumlah BND10,000.00 adalah sumbangan daripada Syarikat DST Sdn Bhd yang diserahkan oleh Yang Mulia Radin Sufri bin Radin Basiuni, Ketua Pegawai Eksekutif DST Sendirian Berhad.
• Sumbangan daripada Progresif Sdn Bhd berjumlah BND40,473.00 (Dolar Brunei: Empat Puluh Ribu Empat Ratus Tujuh Puluh Tiga) iaitu BND39,473.00 adalah hasil kutipan daripada pelanggan Progresif dan BND1,000.00 adalah sumbangan daripada Syarikat Progresif Sdn Bhd yang disampaikan oleh Yang Mulia Abdul Hakim bin Haji Basir, Ketua Pegawai Pentadbiran, Progresif Sendirian Berhad.
• Sumbangan daripada Imagine Sdn Bhd pula berjumlah BND10,000.00 (Dolar Brunei: Sepuluh Ribu) hasil sumbangan daripada pihak Imagine dan pelanggan Imagine, yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Fathi bin Dato Paduka Haji Junaidi, Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Imagine Sdn. Bhd. Sumbangan tersebut diterima oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
SMS Brunei Prihatin merupakan projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh JAPEM, RTB dan Syarikat Telekomunikasi sejak tahun 2005 bagi membuka platform untuk memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada anakanak yatim yang berdaftar di bawah Pendaftaran Kebangsaan Anak-Anak Yatim. Sejak platform ini dibukakan, sambutan daripada orang ramai adalah sangat menggalakkan dan terdapat juga peningkatan dari segi jumlah kutipan pada tahun 1446/2025 berbanding 1445/2024 iaitu sebanyak 20.47%. Semua jumlah kutipan yang diterima akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Anak-Anak Yatim di bawah kendalian JAPEM.
Seterusnya majlis diselajurkan dengan penyampaian surat penganugerahan Program Biasiswa Anak Yatim Sesi 5, bagi tahun 2026/2027 kepada dua orang anak yatim yang terpilih mengikuti Program BIBD Alaf iaitu Yang Mulia Baby Nur Syahiezah Fazillah binti Mohammad Yussof/Norariffin, pelajar Tahun 7, Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al Khattab dan Yang Mulia Nur Sabrina binti Omara, pelajar Tahun 9 daripada Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Peserta yang mengikuti pembelajaran melalui Program BIBD Alaf ini akan dibiayai melalui Tabung Anak-anak Yatim di bawah kendalian JAPEM. Program ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022 dan dihasratkan untuk meningkatkan impak serta objektif Tabung Anak-Anak Yatim, dimana sumbangan derma dari orang ramai juga akan disalurkan bagi membiayai pembelajaran Program Biasiswa Anak Yatim melalui Program BIBD Alaf, sehingga tamat peperiksaan GCE 'O' level.
Turut hadir ke majlis ini ialah Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Yang Mulia Cheong Chee Keong, Pemangku Pengarah Jabatan Radio Televisyen Brunei selaku Pengerusipengerusi Bersama Majlis, pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, rakan-rakan strategik KKBS, ibu bapa dan penjaga penerima-penerima Biasiswa Anak Yatim, dan wakil daripada sektor kerajaan dan swasta.
.jpg)
.jpg)
.jpg)