.jpeg)
Sumber : Siaran Akhbar JAPEM
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS
Jerudong, Sabtu, 26 Syaaban 1447/ 14 Februari 2026 -Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah mengadakan Majlis Penghargaan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak dan Anugerah Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cemerlang sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Tahun 1447H/2025M, bertempat di The Empire Brunei.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada semua Pusat Penjagaan Kanak-Kanak atas peranan penting dan komitmen berterusan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan yang selamat, bersih dan berkualiti selaras dengan peruntukan Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak, Penggal 218 serta peraturan yang ditetapkan. Majlis ini juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam usaha bersama membangunkan ekosistem Care Economy yang mampan.
Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan ucapan daripada YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, selaku pengerusi majlis. Kemudian diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri menekankan bahawa penganjuran majlis julung kali ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak di negara ini. Beliau menyatakan bahawa pusat penjagaan kanak-kanak memainkan peranan penting sebagai institusi asas dalam membentuk perkembangan holistik kanak-kanak, selaras dengan pendekatan Early Childhood Care and Education (ECCE) dan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Beliau turut menjelaskan bahawa Anugerah Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cemerlang diperkenalkan sebagai pengiktirafan tertinggi kepada pusat yang memenuhi piawaian dan kriteria yang ditetapkan, sekali gus menjadi penanda aras kecemerlangan sektor ini. Selain itu, beliau menyeru agar semua pusat penjagaan terus meningkatkan profesionalisme, mengukuhkan aspek keselamatan dan inklusiviti, serta memastikan setiap kanak-kanak, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas, diberikan peluang yang saksama untuk berkembang.
Jelas Yang Berhormat lagi, Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus komited dalam memperkasa dasar dan pemantauan, dengan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta sebagai tunjang utama dalam memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Oleh itu, majlis diteruskan dengan pengumuman dan penyampaian Anugerah Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cemerlang 2025, yang dianugerahkan kepada pusat yang mencapai markah keseluruhan tertinggi berdasarkan kriteria wajib dan kriteria tambahan. Anugerah tersebut telah dimenangi oleh Hanis Montessori, Cawangan Jerudong, yang menerima wang tunai berjumlah BND1,000.00 (Dolar Brunei: Satu Ribu) berserta plak penghargaan sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan pusat berkenaan.
Pusat tersebut menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek keselamatan dan kecemasan, kebersihan dan kesihatan, pengurusan dan logistik, serta kualiti pusat dan profesionalisme, tanpa sebarang aduan sepanjang tempoh pemantauan. Pusat ini turut mengaplikasikan kurikulum Montessori Singapura melalui pelbagai aktiviti perkembangan kanak-kanak seperti Phonics Reading, Geometric Exploration, Wildlife Explorer, Up and Beyond Thematic Exhibition dan aktiviti Run and Play serta memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi kakitangan melalui Caregivers Provider Training Programme yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat.
Proses pemilihan bagi anugerah cemerlang adalah berdasarkan senarai semak yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Penilaian Pusat Penjagaan Kanak-kanak yang terdiri daripada:
- Jabatan Pembangunan Masyarakat, - Jabatan Bomba dan Penyelamat;
- Jabatan Perancang Bandar dan Desa;
- Bahagian Pendaftaran, Syarikat-Syarikat dan Nama-Nama Perniagaan;
- Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, Pasukan Polis Diraja Brunei;
- Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Alam Sekitar, dan
- Jabatan Pendidikan Swasta.
Penilaian kriteria mandatori merangkumi rekod aduan yang bersih, aspek keselamatan, kebersihan, pengurusan dan kualiti perkhidmatan. Nilai tambah juga diberikan kepada pelaksanaan program perkembangan kanak-kanak, pembangunan kompetensi kakitangan, serta elemen inklusiviti dan aksesibiliti bagi kanak-kanak berkeperluan khas.
Bagi memeriahkan acara, majlis turut diserikan dengan persembahan daripada peserta “OKU Got Talent 2025" serta artis tempatan.
Turut hadir ialah, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli jawatankuasa penilaian, ketua-ketua jabatan serta pemilik pusat penjagaan kanak-kanak.