Sumber : Siaran Media Urusetia Hari Kebangsaan/KKBS
Foto :
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 Syaaban 1447 / 14 Februari 2026 – Upacara menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026, telah diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di upacara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026.
Turut hadir adalah Timbalan-Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai Daerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026, serta ahli-ahli Jawatankuasa lain.
Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Majlis seterusnya menyaksikan anggota-anggota Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei dan Pasukan Pembawa Bendera Benteng yang terdiri dari pasukan Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kadet Polis Diraja Brunei, Kadet Bomba dan Penyelamat serta Alumni Program Khidmat Bakti Negara bergerak masuk bagi penyerahan dan penerimaan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam daripada Tetamu Kehormat majlis.
Penyempurnaan Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara telah diiringi dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam “Allah Peliharakan Sultan" oleh kumpulan koir yang dianggotai oleh 42 orang penuntut dari Sekolah Menengah Berakas serta diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.
Majlis diteruskan dengan lafaz Ikrar Hari Kebangsaan seramai 42 orang yang dikepalai oleh Yang Mulia Awang Haji Amir Shukri bin Haji Zawawi, Pegawai Kaunselor Kanan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dan laungan takbir 'Allahuakbar' dilaungkan sebanyak tiga kali oleh Yang Mulia Awangku Muhammad Abdul Qadir bin Pengiran Haji Ibrahim, Imam Tingkat I, Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis ini juga dimeriahkan dengan dua (2) buah lagu patriotik “Berkibarlah Bendera" dan “Bersatu Mencapai Cita Negara" diiringi dengan kibaran bendera kecil oleh seramai 142 orang penuntut dari Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STAHB), Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan Pandu Puteri Brunei Darussalam.
Di akhir upacara, majlis telah disempurnakan dengan penyampaian bendera-bendera negara bersaiz sederhana dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 kepada Pegawai-Pegawai Daerah bagi keempat-empat daerah.
Dengan berkibarnya bendera besar negara, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah diseru untuk sama-sama mengibarkan bendera bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 di rumah-rumah kediaman masing-masing dan bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan serta pemasangan dan penyalaan lampu-lampu cucul di bangunan-bangunan kerajaan dan sektor swasta mulai hari ini Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026 sehingga hari Rabu, 7 Ramadan 1447 bersamaan 25 Februari 2026.
Pengiran-Pengiran akan mengibarkan bendera peribadi, manakala orang-orang yang dikurniakan gelaran akan mengibarkan bendera masing-masing, dan bagi orang ramai pula hendaklah mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam.
Setiap bendera yang dikibarkan hendaklah mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan baik, tidak pudar warnanya dan tidak koyak.