.jpg)
Sumber : Siaran Media Urusetia Hari Kebangsaan/KKBS
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 23 Syaaban 1446 / 11 Februari 2026 – Majlis Utama Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42 akan diraikan dengan Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran, yang akan diadakan secara serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Satu Sidang Media mengenai persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 telah diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin bin Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; bersama-sama Yang Mulia Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan; dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Setiausaha-Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 telah mengongsikan maklumat-maklumat mengenai acara-acara utama dan acara-acara sampingan serta persiapan-persiapan yang akan dilaksanakan bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026.
Dalam Sidang Media tersebut, logo yang terpilih bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 juga telah ditayangkan. Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran
Selaras dengan prinsip negara selaku sebuah negara yang sentiasa mengharapkan taufik dan hidayah Allah Subhanahu Wa Taala serta keberkatanNya, beberapa acara keagamaan akan diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya.
Majis Utama bagi meraikan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, pada tahun ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, memandangkan upacara ini akan diadakan pada bulan Ramadan, iaitu melalui Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang akan diadakan, Insya-Allah pada hari Isnin, 5 Ramadan 1447 bersamaan 23 Februari 2026 bermula pada pukul 11.30 pagi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong sebagai tumpuan utama.
Majlis kesyukuran ini akan diadakan secara serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. Di Daerah Belait, tumpuan utama adalah di Masjid Mohammad Jamalul Alam, manakala tumpuan utama di Daerah Tutong adalah di Masjid Hassanal Bolkiah; manakala di Daerah Temburong, tumpuan utama adalah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Acara-Acara Sampingan
Majlis Pengagihan Bendera Kecil dan Program Semarak Pengibaran Bendera akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, iaitu pada hari Khamis, 24 Syaaban 1447 bersamaan 12 Februari 2026. Tumpuan masjid bagi Daerah Brunei dan Muara ialah Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; manakala Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria, di Daerah Belait; juga di Daerah Tutong ialah Sekolah Chung Hwa; dan Sekolah Menengah Sultan Hassan di Daerah Temburong.
Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam bagi menandakan bermulanya pengibaran bendera negara akan diadakan pada hari Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026, pukul 9.00 pagi di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Munajat Khas akan diadakan pada hari Selasa, 6 Ramadan 1447 bersamaan dengan 24 Februari 2026, pukul 10.00 pagi di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Forum Khas akan diadakan pada hari Rabu, 7 Ramadan 1447 bersamaan 25 Februari 2026, pukul 10.00 pagi, di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.
Manakala, Upacara Menurunkan Bendera Besar, Insya'allah akan diadakan pada hari Rabu, 7 Ramadan 1447 bersamaan 25 Februari 2026 di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan pada pukul 1.15 tengah hari.
Di samping itu, beberapa acara sampingan akan diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 antaranya Majlis Khatam Al-Quran 42 Kali yang akan, Insya-Allah diadakan secara serentak di keempatempat daerah pada hari Isnin, 19 Ramadan 1447 bersamaan 9 Mac 2026. Tumpuan masjid bagi Daerah Brunei dan Muara ialah Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong; manakala Masjid RPN Kampung Kg Pandan, di Daerah Belait; juga di Daerah Tutong ialah Masjid Pengiran Anak Haji Mohammed Alam; dan Masjid RPN Kampung Rataie di Daerah Temburong.
Di akhir sidang media berkenaan, pihak Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 menyeru agar rakyat dan penduduk sama-sama meraikan dan memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ini dengan mengibarkan bendera negara di rumah-rumah kediaman masing-masing dan bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan, serta pemasangan dan penyalaan lampu-lampu cucul di bangunan-bangunan kerajaan dan sektor swasta mulai pada hari Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026 sehingga hari Rabu, 7 Ramadan 1447 bersamaan 25 Februari 2026. Orang ramai juga dialu-alukan untuk turut hadir beramai-ramai ke Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran di masjid-masjid bagi menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat kemerdekaan dan semangat patriotisme sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat.
Sidang Media telah diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang logo iaitu Yang Mulia Awang Mohd Aizuddin bin Mohd Din dan seterusnya penyerahan poster Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 kepada ahli Panel, Pegawai Perhubungan Awam Kementerian-Kementerian, termasuk Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta rakan media.
Huraian lanjut Logo boleh didapati di laman sesawang KKBS: www.kkbs.gov.bn. Orang awam termasuk pihak-pihak media yang ingin mendapatkan logo beresolusi yang tinggi, bolehlah memohon kepada pihak Urus Setia Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam melalui e-mel: urusetiahk@kkbs.gov.bn
.jpg)