.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar JAPEM
Foto : Md Aiman Sufyan - JAPEM
Bandar Seri Begawan, Selasa, 22 Syaaban 1447/ 10 Januari 2026 - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah keseluruhan BND29,975.00 (Dolar Brunei: Dua Puluh Sembilan Ribu Sembilan Ratus Tujuh Puluh Lima) kepada Sembilan belas (19) orang ketua keluarga. Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Daripada Sembilan belas (19) ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan hari ini, seramai Tiga belas (13) ketua keluarga adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir, dua (2) ketua keluarga terlibat dalam kejadian tanah susur, dua (2) ketua keluarga terlibat dalam kejadian kebakaran, seorang (1) ketua keluarga terlibat dalam kejadian angin kencang dan seorang (1) ketua keluarga terlibat dalam keadaan rumah tidak selamat untuk didiami.
Sementara itu, tiga (3) keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran, banjir dan tanah susur, masing-masing telah diberikan bantuan keperluan asasi dan catuan makanan. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.
Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pemangku Pengarah JAPEM selaku Pengerusi Majlis.
.jpg)