.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar DBP
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 Syaaban 1447/1 Februari 2026 – Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan telah menganjurkan Peraduan Fotografi Sempena Malam Gemilang UBD Drone Show dengan mengangkat tema “Persembahan Dron dan Bunga Api di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan Persembahan Bunga Api di Jerudong Park Garden". Pengungkayahan peraduan ini merupakan salah satu platform kreatif yang menyediakan peluang kepada individu untuk mengekspresikan pandangan dan emosi melalui medium visual dan penulisan, seterusnya memperluas apresiasi seni serta melahirkan bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Majlis Penyampaian Hadiah bagi para pemenang peraduan tersebut diadakan di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei pada pagi tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan cenderamata serta sijil penghargaan kepada para pemenang, panel hakim dan rakan korporat (penaja) ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Peraduan Fotografi ini diadakan antara lain bertujuan untuk mendukung visi dan misi Dewan Bahasa dan Pustaka; menggalakkan masyarakat mengembangkan minat dalam bidang fotografi dan penulisan; memperkasa potensi dan kemahiran masyarakat dalam bidang fotografi dan penulisan; serta melahirkan dan mengangkat karya seni fotografi serta penulisan terbaik di negara ini.
Johan bagi Kategori A (Umum) ialah Awang Mohammad Suffri bin Awang Osman; naib johan, Dayang Nurin Nabilah binti Ismail; dan pemenang tempat ketiga, Awang Ahmad Faisaldin bin Haji Awang Tuah.
Manakala johan bagi Kategori B (Sajak Potret) ialah Awang Nurhazmie bin Haji Razali; naib johan, Dayang Siti Nur Azra Basyirah binti Alias; dan pemenang tempat ketiga, Dayang Siti Radiah binti Haji Ahim.
Majlis turut diisikan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Majlis. Seterusnya diikuti dengan penyampaian hadiah, cenderamata serta sijil penghargaan kepada para pemenang, panel hakim dan rakan korporat.
Pameran Peraduan Fotografi Sempena Malam Gemilang UBD Drone Show pula akan diadakan di Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja bermula pada Isnin, 14 Syaaban 1447/2 Februari 2026 hingga Ahad, 20 Syaaban 1447/8 Februari 2026.