​​​​​​​​

Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah

10012025_Bantuan Sekolah (72).jpg 




Sumber : Siaran Akhbar JAPEM

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS


JERUDONG, Sabtu, 10 Januari. - Seramai 115 orang pelajar menerima kupon bantuan persekolahan daripada Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu pada majlis yang berlangsung di Rumah Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, hari ini.

 

Penyampaian bantuan persekolahan ini merupakan inisiatif Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bagi membantu anak-anak penerima bantuan memulakan persekolahan.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian bantuan persekolahan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, dengan diiringi oleh Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Hasbi, selaku Pengerusi Kedua Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pekerja Pembangunan Masyarakat, Awang Abdul Ghani bin Murni dan diikuti dengan penyampaian bantuan persekolahan oleh tetamu kehormat majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan.

 

Inisiatif ini telah dilaksanakan sejak tahun 2025 antara lain bertujuan untuk meringankan perbelanjaan persiapan persekolahan bagi anak-anak berkenaan serta seterusnya memberi semangat, galakan dan motivasi kepada mereka untuk terus memajukan diri dalam pembelajaran, sekali gus berupaya mengubah kehidupan keluarga.

 

Sehubungan itu, pihak JAPEM mengalu-alukan penglibatan pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk mengendalikan inisiatif-inisiatif seumpama ini bagi meningkatkan dan menyemai sikap prihatin serta rasa pemedulian dalam kalangan komuniti di Negara Brunei Darussalam.



10012025_Bantuan Sekolah (127).jpg PRKKBS_-98.jpg

​ 


​​​​