​​​​​​​​

Majlis Meraikan Pantun ke Senarai Representatif Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO 2025

21122025_Pantun UNESCO (18).jpg

 

Sumber : Siaran Media BKK_KKBS

Foto : Kamarul Ariffin - DBP



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 30 Jamadilakhir 1447/21 Disember 2025 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Majlis Meraikan Pantun ke Senarai Representatif Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO 2025 pada Ahad, 30 Jamadilakhir 1447 bersamaan 21 Disember 2025 bertempat di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.

 

Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan pantun diiktiraf secara rasmi dalam Senarai Representatif Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui pencalonan lanjutan bersama Negara Indonesia dan Malaysia yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara (20.COM) UNESCO pada 11 Disember 2025 di New Delhi, India.

 

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Tetamu Kehormat. Dalam ucapannya, Yang Mulia menegaskan bahawa pengiktirafan pantun oleh UNESCO merupakan pencapaian penting yang mencerminkan kekuatan warisan lisan Melayu sebagai wahana ilmu, nilai dan jati diri masyarakat. Beliau turut menekankan peri pentingnya kesinambungan usaha pemeliharaan pantun melalui pendidikan, penglibatan komuniti dan sokongan institusi.

 

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan lawatan Tetamu Kehormat ke Pameran Mini Pantun yang memaparkan latar sejarah, kepelbagaian bentuk, fungsi sosial serta perkembangan pantun dalam konteks tradisi dan kontemporari. Majlis seterusnya diserikan dengan persembahan seni budaya berasaskan pantun bersama komuniti pantun, merangkumi persembahan lagu asli, lagu kanak-kanak, bermukun dan tarian tradisional.

 

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam memelihara dan memperkasa warisan budaya tidak ketara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memperkukuh jati diri, identiti kebangsaan serta kesinambungan budaya berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja.


21122025_Pantun UNESCO (5).jpg 21122025_Pantun UNESCO (17).jpg



 


​​​​