​​​​​​​​

Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026

18122025_MesyJKT-HK41_JBS (1).jpg


Sumber : Siaran Media KKBS

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS, Adi Muadz - JBS



BERAKAS, Khamis, 27 Jamadilakhir 1447 / 18 Disember 2025 — Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 telah diadakan pada hari ini, bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Bersama.

 

Agenda Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 kali ini memfokuskan kepada rumusan post-mortem Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025, tema dan huraian tema bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-42, Tahun 2026, cadangan format acara kemuncak sambutan, acara-acara sambutan seperti tarikh-tarikh Menaikkan dan Menurunkan Bendera, Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera, Majlis Khatam Al-Quran 42 kali, acara sampingan dan ketetapan pertandingan logo.

 

Dalam memastikan kelancaran Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-42 pada tahun 2026, yang akan berlangsung bertepatan dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, satu Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan untuk mengatur dan menyelaras segala aspek pengendalian. Jawatankuasa ini berperanan memastikan pendekatan sambutan diselaraskan dengan tuntutan kesederhanaan, penghayatan nilai ketakwaan serta kemuliaan bulan Ramadan, di samping mengekalkan semangat kebangsaan dan kemeriahan acara sebagai wadah memperkukuh perpaduan rakyat serta menzahirkan kecintaan kepada negara.

 

Turut sama hadir di Mesyuarat ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, selaku Penasihat Bersama, Yang Amat Mulia Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Timbalan Menteri Ugama, Yang Mulia Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-42, Tahun 2026.


18122025_MesyJKT-HK41 (2).jpg 18122025_MesyJKT-HK41_JBS (22).jpg 18122025_MesyJKT-HK41 (29).jpg18122025_MesyJKT-HK41 (47).jpg




​​​​