.jpg)
Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS
Bangkok, Thailand, Jumaat, 12 Disember 2025 - Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (AMRDPE) ke-14 di Bangkok, Thailand, dengan tema “Memajukan Pembangunan Luar Bandar yang Inklusif melalui Inovasi, Kearifan Lokal dan Pemerkasaan Komuniti untuk Pembasmian Kemiskinan Mampan di ASEAN", pada 12 Disember 2025. Mesyuarat dipengerusikan oleh Puan Yang Terutama Sasithorn Kittidhrakul, Timbalan Menteri, Ministry of Interior, Thailand.

Pada mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan antara lain menekankan kepentingan inovasi digital sebagai pemacu utama pembangunan luar bandar, dan mengongsikan amalan terbaik negara melalui Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang telah membolehkan intervensi yang lebih tersasar dan berimpak dengan mengintegrasikan data kemiskinan secara menyeluruh. Peningkatan keupayaan SKN menggunakan artificial intelligence (AI) turut dirancangkan bagi memperbaiki pengalaman pengguna dan memastikan inovasi digital ini membolehkan bantuan untuk sampai kepada yang lebih memerlukan termasuk penduduk di luar bandar.
Yang Berhormat Menteri turut mengongsikan kejayaan inisiatif Satu Kampong Satu Produk (1K1P) dalam memperkasakan kampung-kampung melalui penjanaan ekonomi berasaskan warisan tradisi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh identiti budaya. Menurut Yang Berhormat Menteri selanjutnya, sokongan pelbagai sektor adalah penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan luar bandar, termasuk melalui pelancongan berasaskan komuniti, skim kewangan mikro serta program peningkatan kemahiran yang membantu mengukuhkan perusahaan kecil dan memperluaskan peluang ekonomi bagi golongan yang memerlukan bantuan.
Mesyuarat 14th AMRDPE telah mengesahkan satu Kenyataan Bersama yang antara lainnya menyatakan persetujuan mengenai kepentingan pelaburan berterusan dalam inovasi tempatan dan pengukuhan digitalisasi sebagai pemacu transformasi luar bandar yang inklusif dan berdaya tahan; menggalakkan kerjasama pelbagai sektor, termasuk penyertaan aktif sektor swasta dan masyarakat sivil serta sokongan teknikal dan kewangan daripada badan serantau; komitmen terhadap tanggungjawab bersama dan pemantauan telus bagi memastikan hasil pembangunan dikongsi secara saksama.
---
.jpg)
Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-22 mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (SOMRDPE)
Mesyuarat AMRDPE ke-14 didahului oleh Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-22 mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (SOMRDPE) pada 10 - 11 Disember 2025, serta Mesyuarat SOMRDPE Campur Tiga ke-17 pada 11 Disember 2025. Yang Mulia Hajah Nor Ashikin bte Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menyerahkan kepengerusian SOMRDPE oleh Negara Brunei Darussalam kepada Thailand. Dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan tinggi kepada ahli negara ASEAN di atas kerjasama sepadu yang diberikan sepanjang Negara Brunei Darussalam diamanahkan menjadi Pengerusi. Melalui dedikasi bersama, peranan SOMRDPE telah diperkukuhkan sebagai sebuah platform dinamik yang menyokong pembangunan serantau yang inklusif dan lestari.
Juga turut diadakan adalah Forum ASEAN Public Private People Partnership ke-14 mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan pada 9 Disember 2025, dan ASEAN Villages Network Meeting ke-3 pada 10 Disember 2025.
---
.jpg)
.jpg)
Anugerah Kepimpinan ASEAN ke-7 bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan
Bersempena Mesyuarat AMRDPE Kali Ke-14, Anugerah Kepimpinan ASEAN ke-7 bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan telah diadakan pada 11 Disember 2025 sebagai pengiktirafan kepada peranan, pencapaian cemerlang dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta di negara-negara anggota ASEAN. Pada tahun ini, Project Women Brunei yang diwakili oleh Yang Mulia Nur Judy binti Abdullah, Pengasas Project Women Brunei, menerima anugerah di bawah kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan, manakala Syarikat Takaza Contractor Sdn. Bhd yang diwakili oleh Yang Mulia Haji Mohd Azmi bin Haji Nohi, Pengarah Urusan Takaza Contractor Sdn. Bhd, menerima anugerah di bawah kategori Sektor Swasta, atas sumbangan signifikan dalam membantu memperkasakan golongan kurang berkemampuan di Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir mengiringi Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah Yang Mulia Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan perwakilan daripada Institusi Mukim dan Ketua Kampong, Negara Brunei Darussalam.
.jpg)