​​​​​​​​

Pengiktirafan Sejarah: Pantun Disenaraikan Dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan UNESCO

11122025_Pantun UNESCO (1).jpeg


​Sumber : Siaran Akhbar & Foto BKK_KKBS


 

NEW DELHI, INDIA, 20 Jamadilakhir 1447/11 Disember 2025 — Negara Brunei Darussalam meraikan pencapaian budaya bertaraf antarabangsa dengan penyenaraian Pantun ke dalam Senarai Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan UNESCO. Penyertaan ini mengukuhkan peranan Negara Brunei Darussalam bersama Indonesia dan Malaysia dalam memelihara tradisi serumpun yang telah menjadi teras kesantunan Melayu dan kesinambungan budaya maritim Nusantara. Pengiktirafan ini menyerlahkan komitmen negara untuk terus memperkukuh warisan budaya hidup sebagai asas identiti nasional dan hubungan sosial masyarakat.


11122025_Pantun UNESCO (6).jpeg


Dalam rakaman video yang disampaikan terlebih dahulu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyatakan penghargaan mendalam kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan atas keputusan UNESCO menyenaraikan Pantun sebagai Warisan Budaya Tak Ketara dari Indonesia, Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Yang Berhormat menzahirkan bahawa pantun tidak hanya menjadi seni kata indah, tetapi sebuah mekanisme sosial yang telah sekian lama membentuk pekerti masyarakat, memupuk sifat hormat, budi halus dan hubungan sesama insan. Dalam ucapan tersebut, Yang Berhormat menegaskan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk bekerjasama lebih erat dengan Indonesia dan Malaysia dalam usaha pewarisan generasi muda, dokumentasi, pendidikan dan inovasi digital agar pantun terus hidup dan relevan dalam masyarakat masa kini dan masa hadapan.


UNESCO turut memuji penyertaan aktif komuniti pantun dari ketiga-tiga negara, termasuk inventori kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, yang telah mendaftarkan Pantun pada tahun 2023 melalui proses penyertaan komuniti. Negara Brunei Darussalam menganggap pengiktirafan ini sebagai dorongan baharu untuk memperkukuh penyelidikan, pendidikan formal dan tidak formal, dokumentasi, serta platform serantau dan antarabangsa dalam memastikan warisan ini terus hidup, berkembang dan diperturunkan kepada generasi seterusnya.


​ 


​​​​