​​​​​​​​

Bas Belia BIMP-EAGA 2025 Berakhir Dengan Jayanya, Mengukuhkan Kerjama Belia Serantau

JBS_YouthBus-ClosingDinner-5.jpg



​Sumber : Siaran Akhbar BPBS, KKBS

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS, Adi Muadz - JBS


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Jamadialakhir 1447 / 6 Disember 2025 – Bas Belia BIMP-EAGA yang julung kali dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Brunei Darussalam bersama rakan penganjur Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, telah berlangsung selama enam belas (16) hari merentasi Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.

 

Bas Belia BIMP-EAGA 2025 di Brunei Darussalam telah diselaraskan oleh SSEAYP International Brunei Darussalam (BERSATU) selaku Rakan Strategik bersama Young Professional Network (YPN) bagi Forum Belia Brunei. Program ini menghimpunkan seramai 20 belia berusia antara 18 hingga 35 tahun dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia (Sabah dan Sarawak) serta Filipina. Para peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang yang aktif dalam hal ehwal belia, merangkumi bidang pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, pembangunan komuniti dan belia, serta kesukarelawanan.

 

Projek ini adalah inisiatif pertama di bawah platform Kluster Sosio-Budaya dan Pendidikan, khususnya Kumpulan Kerja Pembangunan Belia dan Sukan. Pencapaian ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa golongan belia serta mengeratkan hubungan antara negara-negara BIMP-EAGA.

 

Tema Bas Belia BIMP-EAGA. Inisiatif ini juga diharapkan akan dapat memupuk pemahaman silang budaya, persahabatan dan solidariti dalam kalangan belia sub-regional; menyediakan pendedahan yang bermakna terhadap kepelbagaian sosio-budaya, potensi ekonomi dan peluang kerjasama; serta memperkasa belia sebagai pemimpin masa hadapan melalui aktiviti yang menggalakkan kepimpinan, inovasi dan pembangunan komuniti.

 

Bagi segmen di Brunei Darussalam, para peserta bersama lebih daripada 200 belia Brunei turut terlibat dalam Forum Belia Brunei. Ucaptama telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan tema “BIMP-EAGA: Unlocking a Future of Innovation and Cross-Border Collaboration for the Next Generation of Entrepreneurs". Forum tersebut diteruskan dengan sesi dialog interaktif bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi); serta Yang Berhormat Dayang Queenie Chong Chin Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang menumpukan kepada topik “Youth as the Catalyst of Change."

 

Selain itu, beberapa sesi dialog bertema turut diadakan bagi meneroka bagaimana belia di BIMP-EAGA dapat meningkatkan lagi hubungan sesama masyarakat melalui keusahawanan, dengan penekanan khusus kepada inovasi digital, ekopelancongan, pertanian, industri kreatif dan pembangunan mampan.

 

Semasa Majlis Penutup Program Bas Belia BIMP-EAGA 2025, para peserta telah menyampaikan resolusi mereka dan menyerahkannya kepada Tetamu Kehormat, Yang Mulia Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi selaku Pegawai Kanan bagi Sekretariat Kebangsaan BIMP-EAGA bagi Negara Brunei Darussalam.



06122025_Penutup Bas BElia BIMPEAGA (1).JPG 06122025_Penutup Bas Belia BIMPEAGA (5).JPG 





​​​​