​​​​​​​​

Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 2025

25112025_Bendera SEAGames (135).jpg


​Sumber: Siaran Media KKBS

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS, Md Nasrullah - JMM


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 04 Jamadilakhir 1447/25 November 2025 - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien berkenan berangkat ke Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 2025.

 

Majlis Penyerahan Bendera Negara disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang. Seterusnya majlis dimulakan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, kemudiannya berkenan mengurniakan sabda ucapan dan seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Yang Mulia Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan selaku Chef de Mission Kontinjen negara.

 

Sukan SEA merupakan antara kejohanan paling berprestij di rantau ini dan pada kali ini diadakan di Bangkok, dan melibatkan dua wilayah lain iaitu Chonburi dan Songkhla, Thailand, yang akan bermula pada 9 hingga 20 Disember 2025.

 

Menyemarakkan lagi temasya kejohanan Sukan SEA ini ialah penyertaan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah yang akan turut sama bersaing untuk negara dalam acara polo bagi kategori Low Goal dan High Goal.

 

 

Negara Brunei Darussalam dalam temasya Sukan SEA ke-33 ini akan diwakili oleh seramai 135 kontinjen, dengan 65 daripadanya adalah atlet yang akan menyertai 9 acara sukan daripada 54 sukan yang dipertandingkan. Sukan berkenaan ialah Akuatik Renang, Angkat Berat, Bola Jaring, Karate, Pencak Silat, Polo, Sepak Takraw, Taekwondo, dan Wushu. Mengiringi para atlet adalah para pegawai yang bertugas dan pasukan urus setia yang tidak hanya akan memastikan prestasi atlet sentiasa pada tahap yang terbaik, tetapi menjamin kesejahteraan mereka tetap terjaga sepanjang kejohanan berlangsung.

 

Pada tahun 2023, Sukan SEA Ke-32 berlangsung di Phnom Penh, Kemboja. Dalam kejohanan berkenaan kontinjen negara berjaya membawa pulang 2 pingat emas melalui sukan Wushu, 1 pingat perak bagi sukan Pencak Silat dan 6 pingat gangsa melalui sukan-sukan Karate, Pencak Silat, Wushu dan Badminton.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Kittivudh Pinyowit, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam; Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan; serta para ibu-bapa atlet.

 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien juga turut berkenan berangkat melawat ke bilik pejabat Sistem Kebajikan Negara (SKN). Dalam sembah taklimat oleh Yang Mulia Hajah Nor Ashikin Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, antara lain menerangkan fungsi dan objektif SKN sebagai platform permohonan bantuan, serta peranan SKN dalam menyokong usaha pembasmian kemiskinan bersandarkan kepada data dan maklumat yang komprehensif.



25112025_Bendera SEAGames (140).jpg 25112025_Bendera SEAGames (198).jpg25112025_Bendera SEAGames (178).jpg25112025_Bendera SEAGames (45).jpg




 


​​​​