​​​​​​​​

Australia Hadiahkan Foto Perang 1945 kepada Brunei sempena Hari Peringatan

11112025_OBOE Gifting Ceremony_AUS (2).jpg


Sumber: Siaran Media dan Foto Suruhanjaya Tinggi Australia (terjemahan KKBS)


11 November 2025, Bandar Seri Begawan – Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam telah menghadiahkan koleksi foto daripada kempen ketenteraan Bersekutu Operation Oboe tahun 1945 kepada Arkib Negara Brunei Darussalam. Majlis penyerahan koleksi foto tersebut berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan sempena Hari Peringatan pada 11 November 2025.


Tahun 2025 menandakan satu detik penting dalam hubungan Australia-Brunei, iaitu ulang tahun ke-80 Operation Oboe. Kempen ketenteraan Bersekutu itu memainkan peranan besar dalam pembebasan Borneo serta menjadi asas kepada hubungan erat moden antara kedua-dua negara.


Majlis tersebut telah disempurnakan dengan penyerahan rasmi koleksi foto oleh Tuan Yang Terutama Michael Hoy, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, kepada Arkib Negara Brunei Darussalam yang diterima oleh Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, Pemangku Pengarah Muzium. Majlis turut disaksikan oleh Tetamu Kehormat, Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Dalam ucapan pembukaan beliau, Tuan Yang Terutama Michael ​Hoy menyatakan koleksi ini merakamkan detik penting dalam sejarah bersama Australia dan Brunei Darussalam. Foto saksi mata memberikan gambaran segera tentang kesan mendalam peperangan dan Operation Oboe terhadap penduduk tempatan serta para tentera Australia. Melalui pemberian ini, Australia berbesar hati dapat menyumbang kepada usaha ​Brunei dalam memelihara dan memahami sejarahnya.


Koleksi foto tersebut sebelum ini telah dipamerkan dalam pameran bertajuk “Saksi Sejarah – 80 Tahun Kemudian: Mengenang Operation Oboe dalam Sejarah Brunei” pada Jun 2025, yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam.


Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memelihara dan memperkukuh dokumentasi naratif sejarah serta pembangunan Brunei Darussalam, pemberian koleksi ini merupakan sumbangan bermakna kepada Arkib Negara Brunei Darussalam. Ia memperkayakan khazanah arkib dan warisan dokumentari negara, di samping menyokong penyelidikan, pendidikan serta memupuk kesedaran sejarah dalam kalangan generasi akan datang.




11112025_OBOE Gifting Ceremony_AUS (4).jpg 11112025_OBOE Gifting Ceremony_AUS (3).jpg




 




​​​​