.jpg)
Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS
RIYADH, ARAB SAUDI, 7 NOVEMBER 2025 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Edisi Ke-6 Sukan Solidariti Islam 2025 yang diadakan pada 7 November 2025 di Riyadh, Kerajaan Arab Saudi, atas jemputan His Royal Highness Prince Abdulaziz bin Turki Al-Faisal Al-Saud, Menteri Sukan Kerajaan Arab Saudi.
Acara sukan tersebut menghimpunkan ribuan atlet dari negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memupuk perpaduan, mengukuhkan persahabatan, dan meningkatkan kecemerlangan sukan dalam kalangan negara-negara Islam. Negara Brunei Darussalam akan menyertai tiga acara sukan iaitu Fencing, Karate dan Angkat Berat.
Sempena penganjuran sukan tersebut, Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Arab Saudi telah mengukuhkan hubungan dua hala melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Sukan Kerajaan Saudi Arabia mengenai Kerjasama dalam Bidang Belia dan Sukan. MoU tersebut telah ditandatangani oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan His Royal Highness Prince Abdulaziz bin Turki Al-Faisal Al-Saud, Menteri Sukan Kerajaan Arab Saudi.
Dalam perbincangan dua hala selepas penandatanganan tersebut, kedua-dua menteri menyatakan harapan untuk terus mempertingkatkan kerjasama dalam pembangunan belia dan sukan antara kedua-dua negara, termasuk kerjasama dalam latihan, program pembinaan keupayaan serta inisiatif pertukaran belia. Turut hadir di Majlis Penandatangan tersebut adalah Tuan Yang Terutama Awang Haji Harun bin Haji Junid, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi.
Mengiringi Yang Berhormat Dato ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
.jpg)