Sumber : Siaran Akhbar PPB
TANAH JAMBU, Selasa, 28 Oktober 2025. - Seramai 173 orang pelatih menerima sijil mereka pada hari ini setelah berjaya menamatkan kursus di bawah Program Pembangunan Belia yang mana terdiri daripada pelatih Program Pembangunan Belia sesi 2022 dan pelatih Program Pembangunan Belia sesi 2023.
 
Majlis Konvokesyen Program Pembangunan Belia yang berlangsung di Pusat Pembangunan Belia telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
 
Para penerima sijil Program Pembangunan Belia Sesi 2022 dan Sesi 2023 ini terdiri daripada mereka yang telah mengikuti Kursus Baik Pulih Badan Kenderaan; Kursus Kimpalan dan Fabrikasi; Kursus Teknologi Info-Komunikasi; Kursus Kulinari dan Bankuet; Kursus Pastri dan Konfeksionari; Kursus Paip Air Domestik; Kursus Penghawa Dingin dan Pendinginan; Kursus Teknologi Rekaan Fesyen; dan Kursus Terapi Kecantikan.
 
Acara kemuncak pada majlis tersebut adalah penyampaian Anugerah Pelatih Cemerlang bagi dua sesi berkenaan. Anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada pelatih yang telah mendapat keputusan cemerlang semasa mengikuti pengajian di PPB di samping menunjukkan usaha-usaha yang membanggakan termasuk status outcome mereka setelah tamat menjalani pengajian. 
Anugerah Pelatih Cemerlang Sesi 2022 diterima
oleh Yang Mulia Awang Hanif bin Jimin dari Kursus Skills Profiency Certificate
in Basic Refrigeration and Air Conditioning, manakala Anugerah Pelatih
Cemerlang Sesi 2023 diterima oleh Yang Mulia Awang Nur Arief Zulfadhly bin Nor Hashim
dari Kursus ITQ Level for IT User.
Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi, beliau mengongsikan data terkini, dimana 60 peratus lepasan pelatih PPB semenjak 2022/2023 berjaya mendapat pekerjaan, manakala lima (5) peratus menceburkan diri dalam bidang perusahaan dan perniagaan, lima (5) peratus telah melanjutkan pelajaran.
 
Dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak sumber tenaga kerja yang berkualiti sama ada di peringkat separuh mahir mahupun mahir yang diperlukan dalam kalangan belia bagi memberikan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada keperluan perkembangaan dan kemajuan ekonomi negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pembangunan Belia akan sentiasa menilai permintaan pasaran pekerjaan bagi memastikan keserasian kursus-kursus dengan permintaan pasaran.