.jpg)
Sumber : Pelita Brunei 
Oleh : Aimi Sani - Penerangan 
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi - Penerangan
 
 
 
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 Oktober. - Satu pertandingan rekreasi dan cabaran berpasukan yang dinamakan The Golden Amazing Race telah diadakan hari ini bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2025. Pertandingan berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja dan sekitar kawasan Bandar Seri Begawan.
 
Dengan bertemakan 'Warga Emas Menggerakkan Tindakan Kebangsaan dan Global : Ke Arah Penuaan Berjaya dan Sinergi Antara Generasi' (Older Persons Driving Local and Global Action : Towards Successful Ageing and Intergenerational Synergy), pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri warga emas, menggalakkan kerjasama serta interaksi positif antara warga emas dan golongan belia, mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta menyokong konsep 'active aging' ke arah kehidupan yang lebih produktif dan berkualiti.
 
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
 
Sebanyak 13 kumpulan (empat peserta setiap kumpulan) telah menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada golongan warga emas, belia berumur 18 tahun hingga 35 tahun dan dua orang individu daripada pelbagai peringkat umur.
 
Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa yang dipimpin oleh Guru Ugama, Kompleks Rumah Kebajikan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Yang Mulia Awang Haji Nordin bin Haji Durahman.
 
Sebelum pertandingan bermula, para peserta diberikan taklimat keselamatan dan seterusnya menjalani sesi senaman ringan yang diketuai oleh Jurulatih Jasmani dari Pusat Pembangunan Belia (PPB), Yang Mulia Sarjan Mohd. Shahfizzy bin Haji Ramli.
 
Lebih daripada 100 peserta telah menyertai sesi pemanasan badan tersebut. Cabaran ini melibatkan pelbagai aktiviti fizikal dan interaktif di lapan 'checkpoint' antaranya cabaran ujian rasa dan bau, kuiz spontan yang merangkumi dua aktiviti iaitu menyusun enam rangkap pantun, permainan Sahibba, cabaran 'puzzle' serta cabaran keseimbangan menggunakan bola atau cawan.
 
Para jemputan turut berpeluang meninjau setiap 'checkpoint' dan menyaksikan dengan lebih dekat semangat serta keakraban peserta dalam melaksanakan cabaran yang diberikan. Pertandingan ini diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh tetamu kehormat.
 
Kumpulan 6 muncul sebagai johan pertandingan dengan catatan masa 32 minit 18 saat, membawa pulang wang tunai sebanyak BND500, hadiah barang-barang elektronik bernilai BND500 tajaan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), sijil penyertaan, pingat, barangan elektronik sumbangan Whatever Accessories dan baucar dari Dynamic Sports.
 
Naib johan pertandingan disandang oleh Kumpulan 1 yang menamatkan cabaran dalam masa 33 minit 1 saat, dengan menerima wang tunai sebanyak BND400, hadiah barang-barang elektronik bernilai BND400 tajaan BIBD, sijil penyertaan, pingat, barangan elektronik sumbangan Whatever Accessories dan baucar dari Dynamic Sports.
 
Manakala, tempat ketiga pula dimenangi oleh Kumpulan 11 yang menamatkan cabaran dalam masa 33 minit 49 saat, membawa pulang wang tunai sebanyak BND300, hadiah barang-barang elektronik bernilai BND300 tajaan BIBD, sijil penyertaan, pingat, barangan elektronik sumbangan Whatever Accessories dan baucar dari Dynamic Sports.
 
Pertandingan The Golden Amazing Race dianjurkan oleh JAPEM dengan kerjasama PPB serta disokong oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Muzium-Muzium dan Pusat Sejarah Brunei.
 
Selain itu, agensi-agensi swasta yang turut memberikan sokongan ialah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Progresif Sdn. Bhd., Whatever Accessories, Syarikat FS Create, Hua Ho Department Store Kiulap, D'Sunlit Sdn. Bhd., Gardenia Food Industries, Dynamic Sports, Syarikat Modessa dan Sennet Technologies.
 
Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh integrasi warga emas dan belia, mengeratkan persefahaman antara generasi serta menyokong komitmen antarabangsa dan serantau dalam menghadapi peluang dan cabaran penuaan abad ke-21, sekali gus mempromosikan pembangunan masyarakat untuk semua peringkat umur.
 
Turut hadir, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh, pegawai-pegawai kanan dari KKBS, pengurus-pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas seluruh daerah, agensi swasta dan rakan-rakan strategik.
.jpg)