.jpg)
Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS
HA NOI, VIET NAM, 16 - 17 OKTOBER 2025 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Sukan Kali Kelapan (AMMS-8) yang diadakan dari 16 hingga 17 Oktober 2025 di Ha Noi, Viet Nam. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh para Menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam hal ehwal sukan serta wakil, bersama-sama dengan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio-Budaya (ASCC). Timor-Leste juga hadir sebagai pemerhati.
 
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Mr. Nguyen Van Hung, Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Viet Nam, dan menjadi wadah penting bagi ASEAN serta para pihak berkepentingan dalam bidang sukan untuk bertukar pandangan, membincangkan dasar, serta memperkukuhkan kerjasama ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN yang aktif dan bersatu padu. 
 
Menteri-Menteri mengiktiraf kejayaan pelaksanaan Rancangan Kerja ASEAN mengenai Sukan 2021–2025 dalam memperkasa kesedaran, budaya dan perpaduan ASEAN melalui inisiatif sukan serantau. Mereka turut menghargai kemajuan yang dicapai di bawah Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Mengenai Sukan (SOMS) serta sumbangan daripada Negara-Negara Anggota ASEAN, Rakan Dialog, dan institusi rakan kerjasama. Mesyuarat tersebut turut menegaskan bahawa kerjasama dalam bidang sukan terus menyokong Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan Pelan Induk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN. 
 
Dalam menggariskan wawasan Brunei Darussalam bagi Rancangan Kerja Sukan ASEAN 2026–2030, Yang Berhormat Dato menyatakan sokongan Brunei Darussalam terhadap tujuh bidang keutamaan yang dicadangkan serta menekankan kesesuaiannya dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Yang Berhormat Dato juga menekankan kepentingan diplomasi sukan dalam memperkukuhkan persahabatan, perpaduan dan identiti bersama ASEAN. Beliau turut menyeru agar penekanan yang sama diberikan terhadap aspek perlindungan dan integriti dalam dasar sukan, bagi memastikan penyertaan dalam sukan kekal selamat, inklusif dan beretika, khususnya bagi golongan belia, wanita dan orang kelainan upaya (OKU). 
 
Susulan AMMS-8, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Campur Jepun Mengenai Sukan Kali Kelima telah diadakan, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Viet Nam dan Tuan Junichi Kawai, Pesuruhjaya Agensi Sukan Jepun. Mesyuarat tersebut mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pertukaran sukan, latihan dan penglibatan belia. 
 
Sementara itu, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Campur China Mengenai Sukan Kali Kedua turut diadakan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Viet Nam dan Tuan Li Jing, Timbalan Menteri Sukan, Pentadbiran Am Sukan China. Mesyuarat ini menegaskan hasrat bersama untuk mempertingkatkan pembangunan kapasiti serta memupuk program kerjasama dalam pembangunan sukan, yang menyumbang kepada perpaduan serantau dan pengukuhan hubungan rakyat dengan rakyat melalui sukan. 
 
Hadir bersama Yang Berhormat Dato ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Brunei Darussalam. 
.jpg) 
 .jpg) 
 .jpg) 
 .jpg)