​​​​​​​​

Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Mangsa Bencana

15102025_PENYERAHAN BANTUAN BENCANA (6).jpg

Sumber : Siaran Akhbar & Foto JAPEM


Bandar Seri Begawan, Rabu, 23 Rabiulakhir 1447/ 15 Oktober 2025 - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah keseluruhan Tujuh Belas Ribu Lima Ratus (BND$17,500.00) kepada lapan belas (18) orang ketua keluarga. Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Daripada lapan belas (18) ketua keluarga yang menerima bantuan kewangan hari ini, seramai lapan (8) ketua keluarga adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian angin kencang, tiga (3) ketua keluarga terlibat dalam kejadian kebakaran, enam (6) ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir dan seorang (1) ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah tidak selamat didiami. Sementara itu, sebuah (1) keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran telah diberikan bantuan keperluan asasi dan catuan makanan. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

 

Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pemangku Pengarah JAPEM selaku Pengerusi Majlis.




​​​​